Sunday 24 October 2010

AHLI UMNO PERLU SEDAR KUASA PENGUNDI



Oleh: ROPIKAH AHMAD

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal meminta ahli-ahli parti untuk menggerakkan pendaftaran pemilih bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Katanya, pilihan raya adalah penentu kepada sebuah kerajaan dan kuasa yang ada bergantung kepada jumlah undi yang diperolehi.

“Jika kita berpegang dengan berpaut pada pilihan raya akan datang maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk sebuah kemenangan dengan meningkatkan jumlah pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Naib Presiden parti sempena Perhimpunan Agung 2010 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Shafie yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih turut menyeru para perwakilan dan ahli-ahli UMNO untuk menggerakkan semua peringkat dengan mengenalpasti kawasan-kawasan tumpuan bagi menarik mereka menyertai UMNO.

“Kita perlu bergerak agresif bukan sahaja dengan mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO tetapi juga memastikan mereka terlibat secara langsung sebagai pembentuk kerajaan selepas PRU13.”

Sebelum itu Shafie membacakan jumlah pendaftaran pengundi bagi UMNO dan Barisan Nasional dibandingkan dengan parti-parti pembangkang iaitu DAP.

“Berdasarkan angka-angka yang ada, kita ketinggalan dari aspek pendaftaran pengundi dan didapati bahawa pihak pembangkang lebih ke depan berbanding kita,” katanya.

Beliau menyebut bahawa terdapat kira-kira 700,000 ribu anggota UMNO tidak mendaftarkan diri sebagai pemilih dalam pilihan raya umum lalu.

Shafie turut menjelaskan bahawa semua UMNO Bahagian telah merancakkan aktiviti mendaftarkan pengundi baru baik daripada kalangan anggota parti mahupun orang biasa.

Beliau berkata, menerusi pasukan khas yang ditubuhkan masing-masing, UMNO Bahagian juga mengumpul maklumat pengundi sedia ada bagi memastikan tidak timbul isu pengundi hantu apabila pilihan raya diadakan.

“Ada juga kes yang saya difahamkan berlaku, rumah itu sepatutnya diduduki oleh penghuni Melayu tetapi yang terjadi bukan (penghuni Melayu) jadi perlu ada penyemakan untuk setiap maklumat,” kata Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau yang sebelum itu hadir perhimpunan bulanan kementeriannya diminta mengulas perkembangan terkini berhubung arahan penubuhan pasukan khas UMNO Bahagian untuk mendaftar pengundi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Presiden parti, baru-baru ini.

Arahan itu yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO berikutan jumlah pendaftaran pemilih baru oleh parti itu agak perlahan berbanding parti pembangkang.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pasukan khas itu juga berperanan mengendalikan pameran bagi meningkatkan kesedaran rakyat yang layak akan kepentingan mendaftar sebagai pemilih.

No comments:

Post a Comment