Monday 18 October 2010

BAJET 2011, BAJET ORANG MABUK?



Oleh: MAIL MATHEW

KELANGSUNGAN dan keperluan untuk bermegah-megah sangat dengan Bajet 2011 baru-baru ini tidak timbul meskipun pihak pembangkang khususnya Parti Maju Sabah (SAPP) tidak akan menghalangnya dari diteruskan; tetapi sekadar terkejut ketika mengamati intipati kandungan bajet itu hampir selari dengan fokus rangsangan bajet di masa lalu, namun rakyat gusar kerana pelaksanaannya tidak sampai ke sasaran mengikut jadual.

“Apabila rakyat mula gusar kerana bajet berbillion ringgit diumumkan setiap tahun tetapi hasilnya tidak sampai kepada kawasan. Bagaimana pun pemimpin menempelak menyalahkan pula pihak pelaksana, kononnya merekalah punca sebenar lambat melaksanakan arahan itu,” kata Naib Presiden SAPP, Jimmy Jawatah pagi tadi.

Tegasnya, keghairahan pemimpin kerajaan BN khususnya Perdana Menteri merencanakan rangsangan program pembangunan untuk dimasukkan dalam setiap bajet; nampaknya tidak terkawal langsung kerana beliau (PM) mungkin tidak mendapat ‘input’ dari pihak bawahan (wakil rakyat/Pengarah) status keperluan (ditambah nilai atau dibatal) projek pembangunan di masa lalu.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Tenom dan bekas Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) ketika era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) seterusnya berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Pembantu Menteri Pertaniandan Asas Tani Sabah, Datuk Bobbey Suan baru-baru ini, bahawa pihak pelaksana tidak konsisten dengan tanggung jawabnya mensasarkan sesuatu pembangunan itu disasaran yang tepat mengikut arahan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, selain bukti yang telah disebut Bobbey tentang kelemahan meletakkan sasaran tepat pengagehan Program Bantuan Rumah (PBR) kepada miskin dan miskin tegar, malah kualiti pembinaannya juga termasuk saliran najis dan pendawaian tidak sempurna dan tidak mengikut piawaian yang betul.

“Sebenarnya, masalah seperti ini sudah berlaku sejak BN bertapak di Sabah tetapi jentera pentadbiran kerajaan tidak pernah menguatkuasakan peraturan tugas pemantauan setiap projek yang telah siap perlu disahkan sebelum Perintah Am Kerja (GWO) itu ditanda tangani,” tegas Jimmy.

“Bantuan PBR juga kita mendapat tahu bahawa ia sudah diselewengkan kerana apa sebab mereka yang dikategorikan sebagai berkemampuan tetapi diberi kelulusan memiliki PBR? Malah ada pula suatu ketika pernah dilaporkan dalam media bahawa seorang pemimpin wanita dari salah satu parti komponen BN mendapat PPRT (sebelum PBR),” tambah beliau.

Nampaknya, tambah Jimmy lagi, apabila ramai pemimpin kerajaan BN khususnya wakil wakil rakyat yang sejak akhir-akhir ini iaitu selepas pengumuman Bajet 2011 turut mempertikaikan kelemahan pihak pelaksanaan, sudah pastilah apa yang disuarakan pembangkang khususnya SAPP dalam masalah tersebut sebelum ini; bukanlah niat pembangkang bermain politik membabi buta tetapi dengan sendirinya telah terbukti dan diakui BN menerusi kenyataan-kenyataan pemimpin mereka sendiri.

“Inilah yang dikatakan sebagai sudah terantuk barulah terngadah atau ‘Bajet Orang Mabuk Tuak’ namun ia maseh belum terlambat untuk diperbaiki demi mensejahterakan bajet yang baru diumumkan itu,” kata Jimmy sambil mengharapkan agar pemimpin BN akan bersedia berubah kearah yang lebih positif dalam konteks membangunkan rakyat di sesuatu kawasan.

No comments:

Post a Comment