Tuesday 5 October 2010

BILA FUAD ZARKASHI TUNAI JANJI HARAKIRI?



Saudara Pengarang,

SAYA amat tertarik dengan keberanian laman maya Sabahkini.net kerana ketelusan dan ketulusannya menyebarkan kebenaran kepada pembaca khasnya penduduk pribumi Sabah.

Dalam kesempatan yang terhad ini, saya ini menarik perhatian Sabahkini.net untuk menyingkap permasalahan pembinaan SMK PEKAN NABALU yang sehingga kini masih belum dimulai pembinaannya sekalipun Kerajaan Barisan Nasional mewar-warkannya akan dibina awal tahun lalu dengan kos RM35 juta daripada kos asal RM100 juta.

Saya ingin menarik perhatian berhubung lawatan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat) ke tapak sekolah berkenaan pada September 2009 memberi semangat menggunung kepada penduduk dengan melafazkan ikrar ‘JANJI MATI’ atau ‘HARAKIRI’.

“Projek SMK Pekan Nabalu akan dimulai dua bulan daripada tarikh lawatan saya pada hari ini. Saya sanggup mengerat leher saya sendiri jika projek berkenaan tidak dijalankan segera,” ujar Fuad yang mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk yang dahagakan prasarana pendidikan sejak rancangan berkenaan dibuat pada Rancangan Malaysia Ketujuh.

Kini sudah lebih setahun daripada janji yang dilafazkan namun sebatang tiang pun tidak didirikan dan sebagai penduduk kampung yang merupakan penyokong kuat Barisan Nasional kami memberi peluang kepada Fuad untuk tidak memperbodohkan rakyat Sabah dan segera menunaikan janjinya (bukan membunuh diri) tetapi memastikan SMK Nabalu dibina segera sebelum beliau di’sembelih’ oleh para pengundi beliau sendiri di Batu Pahat (ramai juga rakyat Sabah mengundi di sana) kerana selalu bersumpah Mati dan bercanggah dengan ajaran agama yang beliau anuti.

SMK Pekan Nabalu ini telah begitu lama menempel najis ke muka Menteri Pelajaran Malaysia, terutama di ruangan laman sosial facebook; seolah-olah ketidak bolehkan Kerajaan Persekutuan membangunkan prasarana pelajaran kerana kononnya kos RM100 juta terlalu mahal sehingga dikurangkan kepada RM35 juta, namun tidak juga dapat dibina.

Perkara ini sudah begitu lama dibahaskan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Tuaran sejak 1991 ketika Datuk Monggoh Orow menjadi Ahli Parlimen sehinggalah ke zaman Datuk Wilfred Mojilip Bumburing; namun belum ada sebarang perkembangan walaupun Fuad menggadaikan lehernya sebagai pengganti, tetapi belum juga tertunai.

Sehubungan itu, ada eloknya Fuad tidak datang lagi kerana kami bimbang beliau dimakan sumpah kerana mengecewakan penduduk kampung yang begitu mengharapkan ‘Wong Jowo’ ini menunaikan janji selagi diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri atau ketulahan oleh sumpahan rakyat Sabah sehingga BN hilang semua kerusi parlimen di Sabah kerana janji seperti yang pernah Fuad lafazkan.

Salam Hormat,

HARAKANAN BENCI HARAKIRI

No comments:

Post a Comment