Saturday 23 October 2010

PERTAHANKAN HAK MELAYU (SABAH): SALLEH



PARA anggota UMNO diminta jangan ‘malu dan segan’ untuk mempertahankan hak-hak Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, semata-mata untuk menjaga hati kaum lain.

Wakil Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said berkata, penjelasan umum mengenai fakta kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain di dalam Perlembagaan Persekutuan wajar dibuat bagi menggelakkan kekeliruan.

"Kalau kita takut berjuang dalam bumi sendiri, di mana lagi kita berjuang. Undang-undang jelas, Perlembagaan jelas, apa lagi yang kita tunggu. Kita tidak boleh segan, kita tidak boleh malu untuk memperjuangkan bangsa kita. Kadang kala saya tengok dalam memperjuangkan isu ini, kita seperti takut-takut. Takut hati orang lain terguris tetapi kalau hati kita yang terguris siapa yang peduli?," katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin.

Mohd Salleh berkata, Sabah kagum dan bangga ketegasan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Perdana Menteri, apabila berani mempertahankan hak Melayu, memandangkan isu itu kini banyak diperbahaskan umum ketika ini.

Beliau turut memuji ucapan dasar Najib pada perhimpunan parti Melayu terbesar itu apabila mampu menterjemah dengan jelas semangat Sabah menyertai Umno dan Barisan Nasional atas dasar mempertahankan kepentingan bangsa dan negara.

"Kami dari Sabah telah mendengar ucapan Presiden dengan teliti dan kita rasakan bahawa ada kejujuran dalam ucapan itu untuk membela rakyat, agama dan negara dan ini yang kita tunggu-tunggu dan telah mendengarnya.

"Kita daripada kapal kecil ke kapal besar. Kita menaiki kapal besar tujuannya ialah untuk membela bangsa dan umat dan kelmarin, jelas Presiden tidak lari daripada landasan itu. Kalau itulah perjuangan kita, ayuh kita berjuang dan terus berjuang," katanya.

Mohd Salleh berharap pemimpin Umno lebih agresif menyampaikan pandangan khususnya melibatkan isu-isu semasa yang sering diputarbelitkan oleh pembangkang hingga menyebabkan rakyat terkeliru.

"Kita tidak boleh lesu. Kita kena bersemuka dengan mereka (pembangkang) dan yakinkan (rakyat) bahawa kita lebih betul daripada mereka (pembangkang) kerana ini adalah politik. Kalau kita bersaing kita kena berani berbincang menegaskan kebenaran," katanya.

Parti mesti popular

“Pemimpin kita popular, kita kena pastikan parti kita juga popular dan ia akan popular apabila semua peringkat pemimpin menjadi popular, walaupun tidak sepopular presiden kita sendiri,” kata Salleh lagi.

Dalam perbahasannya, beliau meminta semua ahli terutama Umno Sabah berubah ke arah model politik baru yang dapat memperkukuhkan parti demi memberi keyakinan penuh rakyat.

Menurutnya, UMNO Sabah perlu menjadi satu pasukan yang kuat untuk memastikan segala usaha dilakukan berjaya dikekalkan dengan pulangan yang lebih baik lagi, bukan sekadar setahun tetapi selama-lamanya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Masa depan UMNO cerah. Kita tidak boleh terperangkap dengan ‘Tsunami Politik’ kerana ia sekadar ciptaan parti pembangkang bukannya kita. Kita menang pilihan raya lalu, cuma ada kekurangan kerusi sikit.

“Yang penting pada kita sekarang kemenangan besar pada pilihan raya akan datang. Kita kena yakin dengan kekuatan kita, tidak boleh dengar cakap orang lain dan yakin kita di landasan gagasan yang betul,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment