Thursday 7 October 2010

HIMPUNAN ISU TANAH RAKYAT SABAH



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PAKATAN Rakyat akan mengadakan ‘Himpunan Perdana’ pada 24 Oktober 2010 (Ahad) bermula pada jam 8 pagi sehingga jam 8 malam bertempat di Dewan Utama, SM Kian Kok, Likas, Kota Kinabalu, Sabah bagi membolehkan rakyat Sabah mengadu masalah berhubung isu tanah di Sabah.

“Program yang amat penting ini akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang,” ujar jurucakap Pakatan Rakyat, Zainuddin Hassan.

Zainuddin yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah menegaskan Pakatan Rakyat menganjurkan program ini demi untuk membantu rakyat Sabah yang mengalami kemelut tanah agar datang beramai-ramai mengadu masalah mereka yang diabaikan pemimpin BN selama ini.

“Beberapa Kertas Kerja berhubung isu tanah akan dibentangkan oleh PAS Sabah, DAP dan PKR yang telah menjalankan kajian khusus selama lima tahun kebelakangan ini bagi mencari jalan keluar kepada masalah tanah di Sabah yang semakin merunding,” kata Zainuddin yang juga Setiausaha Bahagian PKR Cabang Batu Sapi.

Sehubungan itu, kata Zainuddin beliau mengalu-alukan agar rakyat Sabah daripada seluruh Sabah datang untuk mengadukan masalah mereka dan mengambil kesempatan untuk berdialog mencari alternatif dan kaedah penyelesaian secara tuntas.

Kata Zainuddin, rakyat Sabah sudah memberi peluang terlalu lama kepada BN untuk menyelesaikan masalah tanah rakyat tetapi BN menawarkan Geran Komunal yang menghilangkan hak rakyat untuk memiliki dan mewarisi tanah yang mereka telah usahakan sejak berpuluh tahun. BN sebaliknya telah meluluskan tanah yang telah diusahakan rakyat kepada proksi dan kroni mereka.

“Walaupun acara himpunan perdana berkenaan tamat pada jam 8 malam, namun kita teruskan acara dengan Ceramah Perdana yang memfokuskan semua isu berhubung isu tanah dan hak rakyat memiliki tanah Sabah pada jam 8 malam hingga jam 11 malam,” ujar Zainuddin yang memaklumkan bahawa Ceramah Perdana akan disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (PAS), Lim Guang Eng (DAP) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR).

No comments:

Post a Comment