Thursday 21 October 2010

JALANRAYA LICIN, PELAJAR PATAH KAKI



LICIN….Tukimin menunjukkan kawasan simpang yang seharusnya dibina ‘culvert’ kerana telah menyebabkan Muhammad Irfan patah kaki.

Oleh: MAIL MATHEW

JIKA ada peguam yang sudi membantu, mangsa kemalangan yang berpunca daripada jalanraya licin ingin memfailkan saman di mahkamah terhadap Jabatan Kerjaraya Sabah ekoran kecuaian mereka menyebabkan jalan raya tidak selamat dilalui.

Mangsa, Muhammad Irfan, 17, patah kaki dan terpaksa dimasukkan besi bagi membolehkan beliau menggunakan tongkat untuk bergerak terpaksa menangguhkan pendaftaran masuk ke Politeknik Johor Bharu pada 20 Jun, 2010 setelah mengalami kemalangan pada 30 Mei lalu dan sehingga sekarang belum sembuh sepenuhnya.

“Memang saya akan tetap saman. JKR memang cuai dan hanya makan gaji buta. Rakyat yang sengsara. Jalanraya di Tenom tidak selamat kerana keangkuhan mereka. Saya akan tuntut pampasan daripada kerajaan kerana kecuaian mereka hampir menggelapkan masa hadapan dam nyaris meragut nyawa saya,” ujar Muhammad Irfan yang kecewa dengan keangkuhan JKR menyelenggara jalan dan juruteranya hanya suka duduk di bilik berhawa dingin daripada menjalankan tugas.

Tegas Muhammad, beliau dan keluarganya membayar pelbagai jenis cukai kepada kerajaan bukan sahaja untuk membayar gaji jurutera yang cuai, elaun wakil rakyat, malah bagi memudahkan kerajaan memastikan semua jalan raya selamat dilalui.

“Tetapi ini tidak berlaku dan saya merasa kecewa kerana undi yang keluarga saya beri selama ini gagal diterjemahkan dengan baik oleh Kerajaan, malah menidakkan tugas mereka untuk menyelenggara jalan dengan menuding jari kepada orang lain,” ujar Muhammad yang terpaksa menanggung penderitaan di atas kecuaian orang lain.

Sehubungan itu, Sabahkini.net cuba menghubungi Jurutera JKR Tenom, Ir Max Chong, namun dimaklumkan beliau sedang bercuti. Bagaimanapun jurucakap JKR Tenom menjelaskan pihaknya akan melakukan pemeriksaan ke tempat yang didakwa penduduk Kg Angan-Angan sering berlaku kemalangan, khususnya penunggang motosikal, terutamanya ketika musim hujan kerana air berlumpur dari kawasan bukit mengalir melimpah jalanraya yang mengakibatkan jalan licin.

Tegasnya, pihaknya tidak sedar bahawa wujud masalah seperti itu di kawasan terbabit kerana sebelum ini JKR telah membina perparitan besar di situ, yang bertujuan untuk menahan air dari bukit supaya tidak melimpah ke permukaan jalan.

Beliau difahamkan, selepas beberapa tahun pemilik kebun persendirian sebelah atas bukit membina jalan simpang itu masuk ke kebunnya dengan menimbus perparitan yang dibina JKR tanpa pengetahuan JKR menyebabkan keadaan sebegitu rupa telah berlaku.

Menurut dakwaan beberapa penduduk Kg Angan-Angan yang ditemui, kawasan jalanraya licin terbabit kira-kira 110 meter dari simpang besar telah mengakibatkan beberapa pelalu lalang khususnya yang membabitkan penungang motosikal telah tercedera dan yang terbaru dua orang pelajar telah mengalami patah kaki, termasuk Muhammad Irfan.

Ekoran daripada masalah itu, Pengerusi JKKK Kg Angan-Angan, Tukimin Haji Tumin ketika diminta mengulas menjelaskan bahawa, pihaknya sudah bosan dan penat mengadukan masalah ini kepada pihak berwajib terutamanya JKR dan Pejabat Daerah Kecil Kemabong, namun hanya memberi sambutan dingin terhadap aduan itu.

Malahan jelas Tukimin, mereka mengatakan tidak ada keperluan membina pembentung (culvert) di situ kerana pengwujudan simpang itu dilakukan oleh pemilik tanah persendirian tanpa memberitahu pihak JKR.

“Dia orang suruh kami bikin culvert sendiri, tapi bukankah itu JKR punya tanggung jawab? Kalau dia mahu jalanraya itu tidak berlaku kemalangan, sepatutnya dia bikinlah! Sekarang sudah ada banyak kemalangan berlaku, baru mau banyak alasan,” tegas Tukimin.

Kata Tukimin lagi, kalau ada aduan dari penduduk kampung, sepatutnya Juruteknik datang segera memeriksa keadaannya terlebih dahulu sebelum buat sebarang komen. Tetapi ini tidak, dia seolah-olah boleh tahu sendiri. Mungkin sekarang JKR ada teropong sendiri atau guna CCTV di langit dan jawab aduan konon bukan tanggung jawab mereka (jadi) siapa lagi punya tanggung jawab?,” tambahnya lagi sambil meminta pihak JKR agar jangan lagi berdolak dalih dalam melaksanakan tanggung jawab mereka.

No comments:

Post a Comment