Thursday 28 October 2010

JURUKEMPEN PKR TERLALU TAKBUR DAN SOMBONG?




Saudara Pengarang

SEBAGAI Ketua Biro Sabahkini.net Wilayah Sandakan yang dimanahkan untuk membuat pelbagai liputan, terutama sekali di musim menjelangnya pilihanraya kecil Parlimen kawasan Batu Sapi, saya tidak menyebelahi mana-mana parti sama ada BN ataupun SAPP dan juga Parti KeAdilan Rakyat (PKR).

Semasa saya mengikuti kempen hari pertama calon BN, Datin Linda Tsen di Bandar Ramai-Ramai, lebih kurang jam 11.30 pagi, saya terserampak sekumpulan wanita PKR. Saya tidak tahu mereka datang dari daerah mana.

Lalu saya memperkenalkan diri kerana ingin meminta pendapat mereka mengenai sambutan PKR di Batu Sapi itu. Alangkah terkejutnya saya kerana dengan sombongnya seorang daripada wanita yang mengakui daripada PKR Pulau Pinang berkata;

“Tidak payahlah kamu susah-susah nak wawancara kami. Tanpa mediapun PKR tetap 100 peratus menang di parlimen Batu Sapi.”

Saya dan jurugambar Sabahkini.net, Jun Pacifico rasa terkilan dan hairan kenapa mereka begitu tergamak mengeluarkan kata-kata sedemikian kepada wartawan Sabahkini.net yang telah banyak membantu menyiarkan berita-berita PKR selama ini.

Yang paling menyedihkan saya, bagaimana Sabahkini.net mahu membantu mereka berkempen jika mereka berprasangka buruk dengan menghina Sabahkini.net dan semua media di Sabah.

Oleh kerana saya hilang sabar, saya tempalak mereka dengan berkata, “Kamu ini belum lagi menang sudah sombong dan temberang.” Ramai kawan wartawan media dan RTM juga turut mendengar kata-kata saya.

Kalau beginilah sikap biadap para penyokong dan jentera parti PKR, maka sukarkan calon mereka mahu menawan hati rakyat yang selama ini begitu mesra dengan media yang menyuarakan apa sahaja masalah mereka. Sewajarnya, pucuk pimpinan PKR, terutama Presiden Parti mengajar ahli-ahlinya agar tidak berlaku biadap kerana akan menjejaskan martabat PKR sendiri.

Saya ikhlas membantu bukan sahaja calon PKR, SAPP dan BN, walau tidak dibayar sesenpun, namun demi tugas, dengan rela hati melaporkan berita walaupun tidak langsung dihargai oleh pucuk pimpinan parti.

Sekian terima kasih

SHAIMON S JUMADI-BSK

No comments:

Post a Comment