Friday 22 October 2010

KEDAH KATA PI, SABAH KATA NAHI!



Oleh: AINAL SALIM

SEKALIPUN memenangi jawatan Naib Presiden UMNO, namun Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dimalukan di hadapan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pemerhati daripada Seluruh Dunia di Persidangan UMNO di Bangunan PWTC baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Jerai, Bassori Hassan, dengan penuh keterpaksaan meluahkan ‘ludah dan kahak’ ke muka Shafie namun terkena muka Perdana Menteri yang melantik Shafie sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Bassori dengan lantang berkata, pelantikan Shafie dari Sabah sebagai Pengerusi UMNO Kedah sebenarnya memberikan laluan kepada Pakatan Rakyat untuk terus berkuasa dan menyerang ahli-ahli politik tempatan.

Perwakilan Pemuda Umno dari Kedah ini menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang ‘diimport’ dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik. Sentimen ini dimain-mainkan oleh pembangkang, tak de pemimpin baik dari Kedah sampai kena import pemimpin dari luar?” tanya Bassori yang mendapat tepukan gemuruh para perwakilan daripada Kedah.

Tegas Bassori, bagi pihak Pemuda UMNO Jerai, beliau meminta agar perlantikan Shafie dan semua Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri-negeri pembangkang dikaji semula bagi memastikan BN dapat merampas kembali semua negeri yang dikuasai pembangkang pada pilihanraya umum lalu.

Bassori memberi alasan munasabah dengan berkata mereka yang memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri juga harus mempunyai hubungan yang kukuh dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan istana untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Shafie dilantik sebagai Pengerusi UMNO Kedah bersama dengan dua Naib Presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang. Manakala Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pula merupakan Pengerusi Umno Selangor dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan.

Persoalan yang timbul sekarang, apakah Shafie sedar beliau sudah tidak diperlukan di Kedah dan Pemimpin UMNO Sabah sedang menunggu masa sesuai untuk ‘menyembelih’ kerjaya politiknya; apatah lagi Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman tidak akan memberi laluan mudah kepada Shafie; musuh tradisi yang semakin kental di relung hati.

Usaha Mukhriz Mahathir untuk merampas kembali Kedah daripada PAS mungkin semakin cerah sekiranya Najib melantik beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Shafie terpaksa menjadi Naib Presiden tanpa negeri dan hanya berpuas hati dengan jawatan Ketua UMNO Bahagian Semporna.

Shafie semakin serba salah dan boleh dikatakan tumpas sebelum bersabung di arena politik dengan Musa, walaupun sebelum ini begitu hebat merangka beberapa ‘coup-de-taat’ yang ternyata mandul sehingga kini; tambahan pula Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dianggap sebagai ‘penjajah dan melahap’ peruntukan yang sepatutnya di salurkan ke Jabatan Pembangunan Negeri Sabah (JPNS).

Belumpun menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah, Shafie disifatkan telah mengkendurikan semua peruntukan mega KKLW di bawah konsep NKRA di kalangan kontraktor proksi dan kroninya, terutama adiknya, Haji Mohd Yusof dan Datuk Chris melalui tender terhad setelah memperdaya Najib.

Shafie kini tidak lagi mempunyai ‘Komando’ (I command, you do) kerana sebelum ini Datuk Abdul Rahim Ismail dan Datuk Lajim Haji Ukin merupakan pengikut setia mula memilih haluan masing-masing kerana tidak mahu memperjudikan nasib mereka seperti kebanyakan Ahli Parlimen yang kecewa menunggu ‘Formula 16 September’ gubahan Anwar Ibrahim yang layu sebelum berkembang.

No comments:

Post a Comment