Sunday 10 October 2010

KERUSI BATU SAPI MILIK PKR JIKA…...



Oleh: ZIELA A

PAKATAN Rakyat berpeluang besar merampas kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah yang kosong berikutan kematian mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah kelmarin sekiranya Pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan calon muda atau pejuang rakyat pada pilihanraya kecil kali ini.

Ramai pemerhati politik meramalkan, Pemimpin Pakatan Rakyat akan memberikan kerusi tersebut kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendapat agehan kerusi berkenaan pada pilihanraya umum 2008; sekalipun calonnya, Dr Yusof Bin Ahmad gagal bertanding kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menolak kertas pencalonannya setelah beliau terlewat satu minit daripada tempoh yang diwartakan untuk menghantar borang pencalonan.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh, berdasarkan persetujuan PR, kerusi itu diperuntukkan kepada parti itu tetapi tidak dapat meletakkan calon kerana sebab-sebab tertentu.

“Memang ia kerusi PKR, diperuntukkan kepada kami tetapi calon tidak dapat diletakkan ketika itu. Oleh itu, PKR akan membuat persiapan untuk bertanding di Batu Sapi, jika pilihan raya kecil diadakan nanti. PR Sabah akan bermesyuarat hari ini dan dijangka menyentuh isu berkenaan,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan memaklumkan akan disentuh juga pada mesyuarat PR pusat rabu ini.

Ramai ahli akar umbi PKR mengharapkan agar PKR tidak lagi mengulangi beberapa kesilapan lalu dengan meletakkan calon luar sehingga sukar bekerjasama dan kurang mendapat kepercayaan para pengundi, terutama di ambang BN semakin kehilangan pengaruh.

“Jika boleh, biarlah Jawatankuasa Cabang yang mengemukakan cadangan siapa yang akan diturunkan membawa panji-panji PKR kerana jika silap letak calon, PKR hanya akan gigit jari,” ujar seorang AJK Induk Cabang Batu Sapi, Albaris Nasra yang mendapat mandat semua AJK Batu Sapi untuk menyuarakan hasrat mereka.

Kata Albaris, Ketua Cabang Batu Sapi, OKK Hassnar MP Ebrahim sewajarnya diturunkan sebagai calon untuk membawa panji-panji PKR pada pilihanraya kecil kali ini kerana beliau merupakan tokoh paling berpengaruh, matang dan mempunyai pengalaman untuk mematahkan strategi BN pada pilihanraya kecil ini.

“Kalau letak calon yang boleh dibeli dengan wang ringgit atau tawaran jawatan atau calon import, lebih baik tidak payah bertanding kerana hanya memenatkan dan membazir wang parti sahaja,” ujar Albaris lagi.

Menurut Albaris, beliau mendengar ura-ura pihak tertentu mahu menurunkan calon daripada luar daerah atau calon yang tidak mempunyai kredibiliti langsung untuk bertanding pada pilihanraya kecil tersebut; namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan Cabang dan Majlis Pimpinan Negeri serta PKR Pusat untuk memutuskannya.

Albaris menegaskan bahawa OKK Hassnar mempunyai pakej lengkap untuk menjadi calon dan menawan kerusi Batu Sapi untuk membawa suara lebih garang di Parlimen bagi memastikan PKR mampu menawan Sabah pada pilihanraya umum akan datang.

Sebagai satu-satunya peniaga bumiputera yang berjaya dan tokoh Anak Negeri yang disegani ramai, kata Albaris, OKK Hassnar, mampu memenangi pilihanraya kecil berkenaan dengan mudah sekalipun BN meletakkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman atau Ketua Bahagian UMNO, Tan Sri Ampong Puyon atau calon PBS-BN yang lain.

Namun beliau tidak dapat memberi jaminan jika calon lain yang dipilih oleh MPN atau PKR Pusat kerana sukar untuk berkempen jika calon yang diletakkan lebih buruk atau langsung tidak berkaliber daripada calon BN.

Manakala seorang AJK Pemuda Batu Sapi, Aidil Bin Kadir, menegaskan bahawa PKR sewajarnya menurunkan calon yang berprestasi tinggi seperti Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan sekiranya OKK Hassnar tidak berminat untuk bertanding pada pilihanraya kecil ini.

“Peluang saksama harus diberikan kepada pemimpin pelapis Angkatan Muda seperti Zainuddin kerana selama ini beliau tidak jemu-jemu memperjuangkan masalah rakyat di seluruh Sabah secara konsisten. Jika Angkatan Muda tidak diberi peluang kali ini, bila lagi kami boleh membuktikan bahawa kami juga boleh memimpin,” kata Aidil lagi yang berkeyakinan Zainuddin begitu berpotensi untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen.

Bagi seorang lagi AJK Cabang Batu Sapi, Aris Remigius, berpendapat Batu Sapi memerlukan Wakil Rakyat yang dinamik dan mampu membawa isu rakyat ke Parlimen dan peluang saksama harus diberikan kepada Angkatan Muda yang selama ini menjadi tonggak perjuangan PKR di Sabah.

Pemilihan Zainuddin, kata Aris akan memberikan peluang yang lebih besar kepada PKR merampas kerusi berkenaan kerana parlimen ini mempunyai majoriti Melayu daripada suku kaum Suluk dan Bajau kerana Zainuddin daripada suku kaum berkenaan.

“Kita harap janganlah letakkan calon yang kerakyatannya menjadi pertikaian kerana para pengundi kini sudah bijak memilih dan bukannya mengikut telunjuk pemimpin mereka, sebaliknya akan memilih calon yang mesra dan mudah didekati,” kata Aris lagi yang memaklumkan bahawa semua ahli akar umbi dan pengundi setia Batu Sapi mahukan calon tempatan mewakili mereka.

Mengikut siasatan Sabahkini.net, Zainuddin dilahirkan Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, DUN Sekong yang terletak dalam Parlimen Batu Sapi berkelulusan Diploma Automotif mendapat pendidikan awal di SM St. Michael, Sandakan Bandar.

Beliau menyertai politik sejak zaman pemerintahan PBS sebagai Setiausaha Pemuda Bahagian Sekong dan Setiausaha Bahagian Sekong dan seterusnya menjadi Ketua Pemuda Bahagian PBS Batu Sapi.

Zainuddin menyertai PKR pada 1999 sehingga sekarang dan baru mengekalkan jawatan Ketua AMK Cabang Batu Sapi merangkap Ketua Penerangan AMK Sabah di samping bertanggung jawab sebagai Setiausaha Cabang Batu Sapi.

Zainuddin sudah bernikah dan mempunyai empat orang anak semakin lantang menyuarakan masalah rakyat Sabah melalui media termasuk Sabahkini.net.

Pada pilihanraya umum 2008, Edmund berjaya menumpaskan calon bebas, calon Bebas Ching Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Edmund memperoleh 9,479 undi manakala Ching mendapat 5,771 undi. Enam tahun lalu, beliau menang tanpa dicabar.

Mengikut rekod SPR, kerusi Parlimen Batu Sapi mempunyai sekitar 26,000 pengundi. Mengikut peratusan kaum, pengundi Melayu dianggarkan 32 peratus, Cina (38 peratus), India (0.5 peratus), Bumiputera Sabah (26 peratus), Bumiputera Sarawak (0.5 peratus) dan lain-lain (2.6 peratus).

Walaupun pada pilihanraya umum 8 Mac 2008, Calon PKR tidak dapat bertanding di atas masalah teknikal namun wakilnya telah bersaing hebat di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri yang termasuk dalam Parlimen Batu Sapi.

Bagi DUN Sekong yang mempunyai 11,308 pengundi, kerusi tersebut dimenangi oleh Datuk Shamsuddin Yahya (UMNO-BN) dengan memperoleh 4,271 undi berbanding calon PKR Datuk Nahalan Damsal (2,082), manakala Mansor Mursalim (Bersekutu) (242).

Mengikut rekod SPR, DUN Sekong mempunyai 38 peratus pengundi Melayu, Cina (18 peratus), India (0.5 peratus), Bumiputera Sabah (38 peratus), Bumiputera Sarawak (0.5 peratus) dan lain-lain (3.8 peratus).

Kerusi DUN Karamunting yang mempunyai 14,696 pengundi pula dimenangi oleh Peter Pang En Yin (LDP-BN) yang memperoleh 5,171 undi mengatasi Sak Cheong Yu (Bebas) yang mendapat 1,455 undi, Tan Shu Tee (PKR) yang hanya mampu memperolehi 452 undi dan hilang wang pertaruhan dan Chok Kon Tack (DAP) yang mendapat 1,809.

Mengikut pola pengundi, kaum Cina mendominasi Karamunting dengan jumlah merela 52 peratus, diikuti pengundi Melayu 28 peratus; Bumiputera Sabah 17 peratus; keturunan lain 1.7 peratus; Bumiputera Sarawak 0.7 peratus dan India 0.4 peratus.

BN Sabah memiliki 22 kerusi Parlimen selepas dua wakil rakyatnya dari Parti Maju Sabah bertindak sebagai anggota Bebas akhir 2008 dan satu kerusi lagi dimenangi DAP.

SPR dijangka akan mengadakan mesyuarat khas sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment