Monday 25 October 2010

KUASA SELARI, PILIHAN DI TANGAN RAKYAT



Oleh: GONOD SUNDA

PILIHANRAYA Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, meskipun belum dipastikan berapa penjuru yang akan menyerahkan borang pencalonan esok, namun buat sekarang ini sudah pasti ada tiga penjuru terdiri daripada BN-PBS, PR dan SAPP sudah bersiap siap untuk menyerahkan kertas pencalonan mereka pada 26 Oktober, tidak sampai 24 jam daripada sekarang.

Manakala kumpulan-kumpulan kecil yang berminat mungkin turut mencuba nasib di antara satu atau dua dalam pemilihan PRK Batu Sapi pada kali ini kerana kemungkinan mereka itu ditaja oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon yang diputuskan oleh parti masing-masing; sesuatu yang lumrah di Sabah.

Kumpulan terawal yang menggembar-gemburkan hasrat untuk meletakkan calon pada PRK Batu Sapi ialah dari gagasan pembangkang, terutamanya SAPP diikuti PKR-PR kerana SAPP telah pun menamakan bakal calonnya, iaitu Presiden parti itu sendiri, Datuk Yong Teck Lee dan dua hari selepas itu pada 24 Oktober, Datuk Seri Anwar Ibrahim Penasihat PKR telah mengumumkan bakal calonnya seorang Peguam Kanan Haji Ansari Abdullah di sebuah Dewan Serbaguna di Karamunting yang dihadiri kira-kira lebih 500 penyokong PR.

Sementara itu, pihak BN juga turut mengumumkan bakal calon yang diberi tanggung jawab menggalas tugas untuk menwakili BN di PRK Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin 54, balu mendiang Edmund Chong Ket Wah berkelulusan Muzik di Trinity Colledge United Kingdom juga merupakan seorang anak watan Sandakan.

Difahamkan bahawa pemilihan Linda Tsen sebagai calon untuk mewakili BN-PBS dilakukan secara berhemah setelah memikirkan cadangan untuk meletakkan bekas Adun Sibuga, Thien Fui Yen mengalami beberapa rintangan dan BN memerlukan calon yang benar-benar tahu selok belok dan halatuju politik Batu Sapi.

Perubahan tersebut berlaku setelah PBS mendapat tahu bahawa SAPP mencalonkan mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee yang mereka sifatkan sebagai calon ‘Gergasi’ bagi pembangkang.

Tindakan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan itu walaupun mencetuskan kekecewaan di kalangan penyokong tegar Thien yang melemparkan tuduhan liar dengan menyifatkan Pairin masih belum berubah dalam sebarang tugas membuat keputusan lebih-lebih lagi ketika menghadapi pilihanraya kecil sepertimana yang telah berlaku kepada Jornah Mozihim pada PRU-12.

Lantaran itu, di pihak sebelah dalam pembangkang PKR yang diwakili calon Haji Ansari Abdullah tidak terkecuali dari mengalami polimik yang sama kerana Haji Ansari merupakan pemimpin disifatkan ‘import’ di kalangan pengundi Bumiputra Islam Parlimen Batu Sapi dan mereka meramalkan bahawa tidak mungkin Ansari boleh memberi perkhidmatan kepada rakyat Batu Sapi jika pun ditakdirkan menang.

Menyingkap persoalan itu dari segi perkhidmatan tidak boleh dijadikan sebagai alasan pengundi untuk menidakkan kehadiran bakal-bakal calon tersebut kerana ketiga-tiga calon itu sememangnya telah menetap di Kota Kinabalu, termasuk mendiang Edmund Chong sebelum hayatnya.

Di zaman kecanggihan sains dan teknologi, seseorang pemimpin itu boleh berinteraksi dengan penyokongnya walaupun pemimpin itu berada di ceruk rantau dunia dan begitu juga perihalnya jika wakil atau ejen pemimpin itu ada dilantik di sesuatu kawasan untuk menggalas tugas harian menghadapi dan melayani pengundi di kawasannya.

Jangan mengandaikan perkara-perkara remeh temeh kerana kemungkinan yang tidak dapat dicapai atau dimiliki pengundi kerana perbezaan kuasa wakil pembangkang atau kerajaan disebabkan status kuasa kedua-duanya sudah seimbang apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengatakan bahawa UMNO-BN tetap tidak gentar buat pembangunan di kawasan pembangkang.

Pengumuman Najib amat melegakan semua rakyat di negara ini kerana apa yang dinyatakan dan diumumkan Najib sewarnya itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Tidak ada menyebut dalam Perlembagaan itu bahawa penyaluran pembangunan hanya tertumpu kepada kawasan penyokong kerajaan sahaja tetapi sebaliknya sesiapa juga yang berkuasa pemegang tampuk kerajaan pada ketika itu (the government of the day) akan bertanggung jawab kepada kepesatan pembangunan Negara tidak kira ia kawasan diwakili pembangkang atau kerajaan.

Keputusan rakyat begitu penting dalam menegakkan demokrasi dan keadilan serta kesaksamaan dalam pengagehan kekayaan Negara, termasuklah hak dan kuasa AUTONOMI sesebuah wilayah terus dihormati agar Rakyat/Pengundi tidak perlu merasa takut-takut atau lemah semangat. Pilih pembangkang atau Kerajaan adalah hak rakyat dan pengundi untuk menentukannya dan tiada sesiapa yang tahu keputusan anda!.

No comments:

Post a Comment