Saturday 30 October 2010

LDP RAYU PENGUNDI CINA PILIH BN



DENGAN kempen pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi memasuki hari keempat, rayuan dikeluarkan kepada lebih 9,000 pengundi Cina di kawasan itu supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen Thau Lin dari Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk V.K Liew, satu komponen BN, menggariskan tiga sebab utama kenapa penduduk Batu Sapi tidak patut mengundi Datuk Yong Teck Lee dari Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pertandingan tiga penjuru itu.

“Pertama, kedua-dua mereka tidak ikhlas untuk berkhidmat kepada pengundi di Batu Sapi. Mereka telah menyatakan bahawa mereka hanya mahu menggunakan pilihan raya kecil itu bagi mengukur populariti mereka.

“Pada satu peringkat, Yong malah berkata bahawa beliau mahu melihat peratusan Melayu atau Cina mengundinya. Dia kemudian akan menggunakannya sebagai satu anggaran untuk melihat bagaimana pengundi Sabah akan mengundi beliau dan SAPP pada pilihan raya umum ke-13.

“Ini benar-benar satu penghinaan kepada pengundi Batu Sapi memandangkan Yong semata-mata menggunakan mereka untuk mengukur kekuatannya dan tidak lebih daripada itu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Lew berkata begitu juga dengan Ansari yang menggunakan pilihan raya kecil ini bagi menyelamatkannya untuk kelangsungan hidupnya dalam partinya sendiri.

“Kita telah melihat bagaimana beliau dipilih oleh pimpinan PKR dan ini dilakukan dengan begitu banyak perbalahan antara dua kem dalam PKR. Ini dapat dilihat dengan jelas di lapangan terbang Sandakan apabila kem PKR yang menentangnya secara terbuka berbalah dengan penyokong Ansari.

Selain itu, Liew, yang juga Anggota Parlimen Sandakan berkata rekod kerja Yong juga lemah sebagai ketua menteri Sabah apabila SAPP berada di dalam komponen Barisan Nasional sebelum beliau menarik diri dua tahun lalu. Yong adalah ketua menteri dari 1996 hingga 1998.

Katanya rakyat Sabah juga telah melihat sejak beberapa hari lepas bagaimana Yong mewujudkan ‘pakatan’ dengan pimpinan atasan PKR malah menjadikan slogannya ‘Sabah Untruk Rakyat Sabah’ sebagai satu retorik kerana “Yong telah berkata bahawa beliau boleh melakukannya tanpa parti yang berpangkalan di Malaysia Barat kerana ‘persetujuan’nya dengan PKR membuktikan sebaliknya.

“Alasan Yong bahawa dia mahu berjuang demi hak rakyat Sabah dan menjadi wakil bagi rakyat Sabah di Parlimen, adalah lemah kerana satu sebab mudah, SAPP sudah ada dua Anggota Parlimen. Adakah beliau menyatakan bahawa kedua-dua MP itu tidak berguna dan tidak efektif menyuarakan masalah rakyat Sabah di Parlimen? Sudah jelas bahawa Yong tidak yakin dengan MPnya sendiri,” katanya.

Mengenai calon BN, Liew berkata walaupun Tsen boleh menolak pencalonan tetapi beliau menerima kerana ‘keinginannya yang membara’ untuk meneruskan tugas mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, yang belum selesai.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian Chong, dalam nahas jalan raya pada 9 Okt.

Liew berkata keinginan untuk berkhidmat kepada penduduk Batu Sapi yang membezakan antara beliau dengan kedua-dua calon pembangkang.

“Linda Tsen kini menjadi ikon bagi kaum wanita yang walaupun berdepan dengan kesulitan dalam hidup tetapi mampu meneruskan sisa-sisa kehidupannya. Ia bukan mudah bagi beliau tetatpi saya tidak ragu-ragu bahawa wanita terutama di Batu Sapi dan Sabah amnya akan menyokong beliau. Apa yang penting, biarkan beliau meneruskan usaha yang ditinggalkan mendiang suaminya bagi berkhidmat kepada penduduk Batu Sapi,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk 1,535 pengundi pos.

Sejumlah 15,099 atau 59.02 peratus pengundi adalah Bumiputera Islam, 689 Bumiputera bukan Islam (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus) dan lain-lain, 57 (0.22 peratus).

No comments:

Post a Comment