Monday 18 October 2010

MAKAN MALAM ST JOHN TUARAN 2 NOVEMBER



KUNJUNGAN.....Gambar menunjukan Pengerusi PIBG SK ST John Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih (kedua dari kanan) semasa mengadakan kunjung hormat terhadap Datuk Hajiji (tengah) di pejabatnya di Kota Kinabalu.Turut bersama-sama termasuklah Guru Besar, Helen Gasat (kiri) dan Timbalan Pengerusi PIBG,Raimah Abd Rahman (kanan).

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

MENTERI kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Haji Hajiji Haji Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sulaman akan menjadi tetamu kehormat Majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) St John Tuaran yang akan diadakan pada 2 November, jam 6.30 malam bertempat di Bilik Utama 1 Borneo, Kota Kinabalu.

Majlis Makan Malam sambil beramal itu adalah bertujuan untuk mendapatkan dana bagi menjalankan pelbagai agenda pendidikan, di samping membeli serta melengkapkan kemudahan prasarana pembelajaran di SK St. John Tuaran untuk kemudahan para pelajarnya.

Pengerusi PIBG SK St. John Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih memberitahu, persiapan untuk menjayakan Majlis Makan Malam itu yang diketuai oleh Pengerusi Penganjurnya, Puan Helen Gasat merangkap Guru Besar sekolah tersebut sedang giat dijalankan; termasuklah untuk menentukan penjualan tiket-tiket kepada pemimpin, bekas-bekas pelajar dan orang ramai dapat dilakukan sehingga pada tarikh akhir penjualannya pada 30 Oktober ini.

Ghulabdin mengucapkan terima kasih kepada Hajiji kerana sudi menerima jemputan untuk menghadiri majlis itu yang dijangka akan juga dihadiri oleh tetamu lain termasuklah Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Jahid Jahim dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing.

"Seperti yang dimaklumi bahawa SK St. John Tuaran adalah merupakan salah sebuah sekolah yang telah melahirkan banyak insan yang berjaya dalam kerjaya masing-masing termasuklah sebagai pemimpin politik dan peniaga. Maka dengan kesedaran ini, kami mengharapkan mereka akan tampil untuk menjayakan majlis ini. Jika boleh, kami mengharapkan agar mereka berikan sumbangan dana serta mengisi tabung PIBG sekolah bagi melaksanakan pelbagai kegiatan untuk meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah ini," kata Ghulabdin lagi.

Beliau seterusnya memberitahu, Majlis Makan Amal SK St John Tuaran juga akan diserikan dengan pelbagai persembahan menarik dari atis-artis tempatan seperti Penyanyi pujaan ramai berasal dari Tuaran, Peter Dicky Lee, Abu Bakar Ellah, Atama, Rene Barrow dan Pertunjukan Fesyen pakaian yang dijayakan oleh pengusaha Batik Rithman Buntar.

Selain daripada persembahan hiburan, kata Ghulabdin, Majlis Makan Malam amal itu juga akan menyediakan pelbagai hadiah menarik yang akan dimenangi oleh para hadirin melalui cabutan tiket bertuah.

No comments:

Post a Comment