Thursday 14 October 2010

MANSUHKAN PENSWASTAAN JALAN KAMPUNG!



MANSUH....Maili Ongin (kiri), Ng Choon Soon dan Martin Kamandu menggesa agar penswastaan jalan kampung dimansuhkan dan dikembalikan kepada JKR.

Oleh: MAIL MATHEW

BEBERAPA pemimpin masyarakat di Tenom sependapat dan bersetuju dengan komen dan analisis mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika era kerajaan USNO, Tan Sri Herman Luping yang bertajuk ‘Ambil alih pembaikan jalanraya luar bandar’ dalam edisi tulisan beliau, ‘Semalam, Hari Ini Dan Esok’ keluaran rabu di sebuah akhbar tempatan Sabah.

Memang menarik pendapat beliau dan umum telah termaklum bahawa pencapaian kecemerlangan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak dapat dinafikan kepesatannya ketika ini namun masalah lain terutamanya masalah jalanraya terus menghantui kerajaan BN.

Persoalan yang sedang ditimbulkan rakyat di peringkat akar umbi ketika ini, jika berdasarkan pendapat Tan Sri DSP Luping dalam komen beliau itu, lonjakan ekonomi dan prasarana lain hanya akan tercapai jika masalah jalanraya dapat diatasi sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kg Undusan, Tenom, Martin Kamandu, 50, menjelaskan bahawa beliau bersetuju jika ada cadangan kerajaan untuk menyerahkan semula tanggung jawab penswastaan penyelenggaraan jalanraya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pun Majlis Daerah.

Tegasnya, hanya dengan cara sedemikian masalah kelewatan menangani masalah itu dapat diatasi sekaligus mengurangkan tekanan rakyat terhadap kerajaan menerusi JKKK di kampung terbabit.

“Kami selaku ejen pembangunan di peringkat akar umbi, sering dipersalahkan kononnya kami lalai, tidur dan tidak proaktif menangani masalah itu,” tegas Martin.

Seorang lagi Pengerusi JKKK Kg Manining, Maili Ongin, 40, memang banyak kebaikan sekiranya tanggung jawab penyelenggaraan jalanraya diambil alih oleh JKR seperti sebelum ini kerana selain pihak JKR memiliki mesin yang lengkap untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut, mereka juga boleh merancang dan merangka bajet itu untuk tempoh setahun termasuk bajet luar jangka (kontigensi).

“Kami sudah hantar berkeping-keping surat dan minit mesyuarat kepada pihak kontraktor swasta yang dilantik kerajaan untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tetapi jawapan mereka, “kami sedang tunggu peruntukkan dari kerajaan” tetapi mereka tidak ambil peduli surat yang kami hantar sudah berbulan-bulan lamanya, sehinggakan penduduk kampung berpandangan serong terhadap kami,” kata Maili.

Manakala mantan Kapitan Cina Tenom, Ng Choon Soon, 70, turut menyuarakan kebimbangan yang mungkin tercetus salah faham di antara Pengerusi JKKK dengan penduduk kampung jika kerajaan terus membiarkan kontraktor swasta menerajui tanggung jawab menyelenggara jalanraya.

Tegasnya, apa yang beliau kesalkan, setiap kerja yang dilaksanakan kontraktor pasti mendapat tohmahan penduduk kerana ia dibuat seperti ‘ala kadar’ sahaja dan tidak dipantau oleh pihak berwajib sama ada JKR atau Pejabat Daerah.

“Saya percaya dan yakin komen dan analisis Tan Sri Luping itu ada kebenarannya apa bila beliau mengatakan proses melonjak ekonomi dengan menaiktaraf prasarana di peringkat kampung seperti klinik kesihatan, sekolah dan penghantaran benih untuk tanaman pertanian tidak akan tercapai matlamatnya jika jalanraya masih di tahap era 1960-an lagi,” tegas Ng.

Contoh terdekat dalam soal ini, kata Ng, ialah apabila para kakitangan kerajaan sukar menghantar benih tanaman ke Rundum, Kobis dan Abingkoi dengan kenderaan biasa dan begitu juga halnya apabila lori pembeli getah tidak dapat masuk ke Kg Barung kerana jalan berlumpur dan berlubang-lubang besar.

“Kasihan orang kampung terpaksa memikul getah kepingan mereka untuk ke simpang besar sejauh 2 kilometer untuk dijual. Itulah masalah setelah penyelenggaraan jalanraya diswastakan,” tambah Ng Choon Soon dengan nada kesal.

No comments:

Post a Comment