Thursday 14 October 2010

MEREKA ADALAH WARGANEGARA MALAYSIA!



Oleh : SHAIMON S JUMADI

“KITA tidak menghalang kerajaan khususnya pihak Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) untuk memajukan satu-satu kawasan dengan tujuan untuk menaik taraf pembangunan insfratruktur demi faedah rakyat jelata di negeri ini, khasnya di daerah Telupid.”

“Akan tetapi para penduduk yang terlibat dan rumah mereka diroboh oleh pihak LPPB seperti yang kini telah berlaku di kawasan perumahan setinggan, berhampiran di pekan Telupid, hendaklah diberikan sedikit pampasan, demi membolehkan mereka membina semula rumah baru di kawasan lain yang lebih strategik,” kata Ketua UMNO Bahagian Beluran, James Ratib.

Beliau berkata demikian kepada Ketua Biro Sabahkini.Net Wilayah Sandakan ketika diminta mengulas satu artikel yang bertajuk ‘Diskriminasi BN Kini Terbukti?’ seperti yang tersiar di Sabahkini.Net, karya Zianna Mandali.

“Saya ingin tegaskan di sini, seramai 50 penduduk yang terlibat dalam perobohan rumah mereka di kawasan yang dimaksudkan 70 peratus adalah warganegara Malaysia dan rata-rata adalah pengundi kawasan Beluran dan juga merupakan ahli UMNO kawasan Beluran,” tegas James yang menafikan dakwaan Zianna.

Kata James, mereka juga adalah penyumbang besar kepada Barisan Nasional dan memberi kemenangan besar kepada calon BN/UMNO semasa pilihanraya umum lalu dan mereka sudah tinggal di negara ini khususnya di Sabah sudah melebihi 30 tahun.

“Mereka adalah rakyat Malaysia. Soal mereka mendapat kad pengenalan dari mana pun, bukan persoalannya. Itu adalah urusan kerajaan. Yang penting mereka adalah pengundi berdaftar,” jelas James dengan panjang lebar.

Kata James, beliau amat kecewa dengan tuduhan liar kononnya beliau menyokong rakyat asing untuk mendapatkan pampasan daripada pihak LPPB kerana tugas sebagai seseorang pemimpin.

“Apakah salah etika jika saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Beluran menulis surat kepada LPPB untuk mencadangkan bagi membantu mangsa roboh untuk mendapatkan sedikit pampasan, sama ada lulus atau tidak terpulang kepada kebijaksanaan LPPB sendiri,” ujar James lagi.

Sehubungan itu, James menggesa agar Sabahkini.net berhati-hati menapis berita daripada luar bandar, terutama yang dihantar ‘Stringer’ yang disifatkan lebih menyerang peribadi pemimpin dan memburukkan pemimpin BN tanpa kaji selidik terlebih dahulu.

1 comment:

  1. lebih teruk lagi banyak tanah2 pekebun kecil 10 -15 ekar seorang yang telah diluluskan pada zaman kerajaan berjaya dan pbs telah dirampas semula lantaran tiada geran dan atas dasar penghutanan semula.Tapi cuba layari google earth dan tinjau2 d pedalaman telupid,dan banyak daerah pedalaman lain, entah siapa pula yg membotakkan beribu-ribu ekar dan ada d beberapa tempaat pula tu.beratus atau beribu ekar boleh pula. tapi 15 ekar dan telah pun mengeluarkan hasil tidak dibenarkan.rumah dibakar dan tanaman dimusnahkan.ini berlaku di merotai, andrassy, bukit tajam, dan semporna tawau. belum campur lagi di daerah lain. mrk benar2 merosakkan nama kerajaan. justeru rakyat sebenarnya sudah tak sabar ingin guna kuasa undi mereka. Batu sapi adalah pengukurnya.

    ReplyDelete