Friday 8 October 2010

PAS DESAK TENDER TERBUKA UNTUK NKRA



Oleh: ZAMRIN ANJAM

PARTI Islam Semalaysia (PAS) menggesa agar Perdana Menteri Malaysia membatalkan kesemua 16 projek NKRA yang diluluskan Kementerian Kewangan Malaysia untuk dilaksanakan secara tender terhad oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk dilaksanakan melalui tender terbuka sejajar dengan semangat 1Malaysia yang diterapkan kerajaan Malaysia.

Yang Di Pertua PAS Kota Belud, Ustaz Muataqim Aling membuat gesaan demikian sebagai mengulas pemberian 16 Projek NKRA termasuk projek membina Jalan Kg Bangkahak Baru-Kg Zing, Kota Belud yang disiarkan Sabahkini.net baru-baru ini sebagai ketidak telusan Kerajaan Barisan Nasional mematuhi standard Operation Procedure (SOP) setelah Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah dimansuhkan dan digantikan dengan Jabatan Pembangunan Negeri (JPN).

“Mengikut peraturan semua projek pembangunan di Sabah, atas apa juga nama; NKRAkah atau tender terhadkah atau runding hargakah, wajib melalui JPN yang terletak di bawah potfolio Jabatan Perdana Menteri. Kenapa KKLW tidak melalui JPN? Kenapa tubuhkan JPN dan bazirkan wang rakyat jika semua projek atas angin?,” tanya Ustaz Mustaqim yang menyatakan Shafie telah melampaui batas dan mempunyai agenda tersembunyi di sebalik amalan songsang berkenaan.

Buktinya kata Ustaz Mustaqim, pemberian projek ‘Top-Up’ menurap jalan luar bandar Kuala Abai-Buah Pandai, Kota Belud (tidak termasuk 16 NKRA yang disiarkan Sabahkini.net) yang berharga RM12 juta oleh KKLW kepada sebuah syarikat kroni Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah digunakan untuk mendapatkan dana membiayai Majlis Rumah Terbuka pada 10 Oktober 2010 di Kota Belud.

“Ahli kita telah melaporkan bahawa 100 buah kenderaan telah disewakhas untuk digunakan di majlis berkenaan dan setiap hadirin yang datang akan diberi saguhati antara RM10 dan RM20 bagi memastikan kehadiran mencapai 20,000 orang. Pengikutnya dari Semporna juga turut diangkut,” ujar Ustaz Mustaqim lagi.

Setelah memperdaya Perdana Menteri dengan sambutan luar biasa (70,000 mengikut laporan media, tetapi jumlah sebenar hanya 7,000 orang) di Lahad Datu, kata Ustaz Mustaqim, kini Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Shafie Haji Apdal telah mengerahkan agar semua ahli UMNO Kota Belud turun menyambut beliau sempena Majlis Rumah Terbuka tersebut anjuran jabatan di bawah kementeriannya.

“Kita telah mengenalpasti Mantan Ketua Pemuda UMNO Kota Belud di zaman Shafie menjadi Ketua Pemuda UMNO Sabah iaitu Haji Mastan Hassan yang melaksanakan semua visi untuk mengumpul orang dan menempah kenderaan tersebut untuk digunakan pada 10 Oktober 2010 dan kita harap SPRM akan menjalankan tugas dengan sempurna mencegah politik wang yang cuba diamalkan Naib Presiden UMNO,” tegas Ustaz Mustaqim yang membayangkan pihak akan membuat laporan polis berhubung isu berkenaan.

Semua jentera Kemas dan Mara, kata Ustaz Mustaqim telah dikerahkan untuk hadir dan memastikan kelicinan program berkenaan dan beliau kesal kerana jentera kerajaan digunakan untuk melebarkan pengaruh politik Shafie.

“Mungkin dia ingin tunjuk kepada Perdana Menteri bahawa dia mempunyai pengaruh kerana kita dengar dia juga kepingin jadi Ketua Menteri Sabah,” ujar Ustaz Mustaqim yang kesal dengan sikap pemimpin UMNO yang menyalahguna kuasa dan membelakangkan kepentingan rakyat Sabah.

Ketika ditanya kenapa PAS campurtangan dalam program UMNO dan adakah sebagai tindakan membalas dendam kerana Shafie dalam ucapan perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, Johor sekitar Julai 2010 yang memberi gelaran jelik kepada akronim PAS sebagai Parti Ajaran Sesat; Ustaz Mustaqim berkata teguran yang dilakukannya demi kepentingan Sabah dan rakyatnya.

Kata Ustaz Mustaqim lagi, beliau turut kesal kerana telah mendapat tahu daripada pihak Mara bahawa Pengerusi Penganjur Majlis Rumah Terbuka berkenaan, Awadnir Matanggal menganjurkan program tersebut dengan bantuan Haji Mastan setelah Shafie berjanji untuk membeli tanahnya di Pengkalan Abai bagi kegunaan Mara Kota Belud.

“Sebagai langkah pencegahan, saya minta juga agar SPRM siasat Awadnir kerana terdapat unsur rasuah, apatah lagi jika harga yang ditawarkan melebihi harga pasaran dan tidak dibuat secara telus,” kata Ustaz Mustaqim lagi yang memaklumkan isu 16 Projek NKRA akan dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen PAS pada sesi parlimen akan datang.

Sebelum ini Sabahkini.net telah melaporkan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Sabah mempersoalkan 16 Projek NKRA yang gagal disiasat SPRM, antaranya melalui artikel bertajuk 'SPRM Digesa Siasat 16 Projek NKRA' dan 'Contract Abuse In Sabah'.

No comments:

Post a Comment