Monday 25 October 2010

PEMILIHAN LINDA, FORMULA KEMENANGAN BN



Oleh: SHAKILA MOHD AYUB

PEMILIHAN Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calon pilihanraya kecil Batu Sapi merupakan ‘Formula Bestari’ Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Pengarah Pilihanraya Kecil Batu Sapi, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Meskipun air matanya masih tumpah dan hatinya masih basah oleh kasih sayang kerana masih berkabung di atas kematian suaminya, Mendiang Datuk Edmund Cong Ket Wah, Datin Linda sanggup menggalas misi perjuangan belum selesai mendiang suaminya semata-mata cinta kepada negerinya, Sabah dan melestarikan visi Partinya, PBS.

Datin Linda tidak dapat menolak takdir bahawa beliau adalah Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (Pusat) yang secara kebetulan ialah isteri kepada Mendiang Datuk Edmund Chong; sanggup menggalas tanggung jawab menentang ‘Kucing Buta’ daripada ‘SAPP’ yang menyifatkannya sebagai ‘Tikus Mati’ daripada BN.

Namun, Linda menganggap tanggapan Presiden SAPP dan pemerhati politik sebagai penguat semangatnya untuk berjuang kerana ‘Tikus Mati’ yang digelarkan kepadanya bukanlah ‘mati’ sebaliknya berpura-pura ‘mati’ untuk menghindar ‘Kucing Buta’ yang tidak dapat melihat sebarang pergerakan tikus.

Semangat juangnya bertambah kental dengan sokongan padu dan lantang daripada Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin serta Ketua Wanita PBS, Datin Jamilah Sulaiman.

Bagi melestari konsep ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia dan kesaksamaan gender’ Linda tidak gentar menghadapi saingan dan bakal serangan psikologi (Saiwar) daripada dua calon utama yang menentangnya, Datuk Yong Teck Lee (Presiden SAPP) dan Haji Ansari Abdullah (AMT PKR/Ketua Cabang PKR Bahagian Tuaran), kerana mereka berdua adalah ‘Payung Terjun’ yang tidak berkembang di Batu Sapi.

Dengan kelebihan sebagai ‘Anak Jati’ Sandakan, Linda yang mempunyai semangat kental lebih memikat dasar hati pengundi dengan sikap ramah dan sentiasa pasrah kepada nasib, namun enggan mengaku kalah kepada cabaran dan rintangan.

Kekuatan mental dan fizikal ibu tunggal kepada empat orang anak ini, Charlene, Steffi, Douglas dan Jamie, tidak menjadikan ‘perkabungannya’ sebagai halangan untuk mendampingi rakyat dan yakin membawa suara majoriti rakyat Batu Sapi ke Parlimen jika terpilih kelak.

Sebagai ahli politik, Linda telah mendambakan dirinya terhadap PBS sejak sekian lama dan memperjuangkan konsep kesaksamaan dan keadilan di dalam Barisan Nasional tidak akan kekok untuk turun padang bagi melestari agenda holistik BN mengembalikan Sabah ke mercu kegemilangan.

Semangat juang mendiang suaminya yang membara di dalam relung hatinya akan menjadi katalis suci untuk menawan hati dan membalas budi rakyat Batu Sapi yang telah memilih mendiang suaminya sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi dan kini penuh yakin dapat mengulangi kejayaan 2008 dengan penuh bergaya sekalipun lawannya bukan calang-calang orang.

Sekalipun tidak sempat menyambut ulang tahun Ke-26 perkahwinan mereka disebabkan kemalangan maut mendiang suaminya, namun Linda yakin kemenangan pada pilihanraya kecil Batu Sapi adalah hadiah paling berharga buat keluarganya dan parti serta negaranya.

Pemilihan Linda sebagai calon BN pada pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi telah mampu mengubat luka di hati penyokong setia PBS yang dambakan keprihatinan dan ketaat setiaan mendiang suaminya kepada parti dan rakyat Batu Sapi.

Linda yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Chi Hwa dan Sekolah Menengah Tiong Hwa, melanjutkan pelajaran ke St Brandon School, United Kingdom, dan Trinity College of Music, London serta Fellowship London College of Music telah bersiap dari segi mental dan fizikal untuk memantapkan sokongan BN dengan irama melankolis yang mampu menyentuh hati pengundi; sehebat kebolehannya dalam bidang seni muzik.

Sentimen pengundi yang berubah akan melimpahkan lebih banyak majoriti kepada Linda berbanding 3,708 undi yang diperolehi mendiang suaminya pada 2008, ketika menewaskan calon Bebas, Chung Ong Wing dengan memperolehi 9,479 undi berbanding Chung yang hanya mendapat 5,771 undi.

Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 biasa dan 1,535 undi pos dengan 15,099 atau 59.02 peratus pengundi bumiputera-Islam; 689 bumiputera (2.69 peratus); 9,737 Cina (38.06 peratus) dan 57 kaum lain (0.22 peratus).

4 November 2010 adalah detik penentuan yang paling penting bagi Linda yang akan meneruskan perjuangan parti di persada politik tanah air. Soal menang atau kalah tidak timbul kerana Linda yakin kejayaan akan melebarkan senyuman kepadanya!.

No comments:

Post a Comment