Wednesday 20 October 2010

PENASIHAT SPRM Vs PENASIHAT 25 %


MAMPUKAH 'THE UNTOUCHABLE' BELI ICAC?

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

NOSTALGIA Filem ‘Tiga Abdul’ kembali menggamit hati apabila terbaca kritikan Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang disiarkan di portal rakyat, sabahkini.net bertajuk ‘MACC ADVISER WANTS ACTION ON WEBSITE REPORT’ pada 18 Oktober 2010.

Peribadi dan kehebatan Tan Sri Robert Phang ini adalah ‘Duplicate’ salah satu watak dalam Filem ‘Tiga Abdul’ iaitu Tuan Penasihat kepada Sadiq Sigaraga yang bernama Kasim Pantalon; kerana gaya nasihat dan perancangannya mampu memperbodohankan SPRM dan Perdana Menteri Malaysia.

Saya teringat pada suatu peristiwa mengaibkan iaitu pada Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun-44 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Restoran Hee Lai Ton, di Shaw Parade, Jalan Thambi Dollah, Kuala Lumpur pada 21 Mei 2010 yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang VIP; termasuklah Robert Phang yang hadir untuk menderma RM50,000.

Dalam ucapannya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai (Hos) turut mengecam SPRM, kerana memihak kepada BN termasuk tuduhan membunuh Tan Beng Hock di hadapan Robert Phang yang ketika itu sebagai salah seorang Jawatankuasa Penasihat SPRM.

Sebelum majlis ini, Robert Phang pernah mengeluarkan kenyataannya dalam The Sun, 24 September 2009;

"There has been no selective investigation in MACC. For instance, the commission has investigated Selangor opposition leader Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo and also the Port Klang Free Zone scandal. Whether the commission is independent or not, it is often influenced by perceptions. At the end of the day, we still have to answer to our conscience as to whether or not we have done a good job."

Phang said, "even the Independent Commission Against Corruption (ICAC) in Hongkong and the Corruption Eradication Commission in Indonesia had taken few years to see fundamental results when the MACC was only formed less than a year ago. Public should not be totally misled by Transparency International's GCR 2009.”

Sikap Penasihat ‘Besar Mulut’, tidak konsisten dan bermuka-muka ini mencemarkan imej SPRM dan sepatutnya malu dan mempertahankan SPRM ketika dicaci maki DAP; apatah lagi Mantan Presiden Transparancy International (TI) Malaysia, Tan Sri Ungku Aziz turut hadir dalam majlis anjuran DAP berkenaan.

Mungkin tiba masanya Kerajaan 1Malaysia menyemak kedudukan beliau dalam SPRM, apatah lagi beliau juga adalah Jawatankuasa Pencegahan Jenayah Kebangsaan.

Dengan sumbangan RM50,000 kepada DAP untuk Tabung Transforming Malaysia Fund, Robert Phang telah menderhaka kepada SPRM kerana menyubur dan memperkasa DAP untuk terus membuat dakwaan dan tuduhan liar terhadap SPRM.

Sewajarnya, Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung menarik balik gelaran ‘Tan Sri’ yang dikurniakan kepada Robert Phang kerana beberapa tindakannya ‘berpolitik’ dan mencampuri serta mendedahkan rahsia SPRM telah menggelincirkan imej SPRM, apatah lagi menyumbang dana kepada DAP secara terang-terangan.

Sebelum ini Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong begitu berang dengan tuduhan liar Robert Phang yang mengatakan beliau yang mengatur Ong Tee Keat menaiki jet peribadi secara percuma dengan pemilik syarikat yang ada hubungan dengan Skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) dan telah memfailkan saman pada 9 Februari 2010.

Selain daripada Panel Penasihat SPRM, Robert Phang juga merupakan Penerbit The Star dan Pengerusi Yayasan Social Care.

Ketika menghubungi Editor Sabahkini.net, Mutalib M.D yang berada di luar Negara kerana menjalankan kajian ‘Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan’ melalui email, Mutalib mengalu-alukan kritikan dan dalam masa yang sama mencabar Robert Phang untuk menjadi ‘Lelaki Sejati’ dengan berkata benar.

“Dakwaannya terhadap Sabahkini.net terutama peristiwa yang bakal berlangsung pada 27 Oktober 2010 di Hong Kong menjerat SPRM sendiri. Sabahkini.net tidak pernah membuat dakwaan meliar atau tuduhan melulu. Sabahkini tidak pernah cerobohan maklumat SPRM sebagaimana SPRM menceroboh maklumat email peribadi saya,” ujar Mutalib yang mendakwa Penasihat SPRM ini semakin tidak professional, kerana ‘berniaga’ berita sensasi dan mempunyai kepentingan terhadap isu Hong Kong.

Mutalib mencabar Robert Phang mendakwa Sabahkini.net di mahkamah jika melanggar sebarang undang-undang atau menceroboh kerahsiaan SPRM selama ini dan bukannya membuat kenyataan akhbar tanpa bukti yang munasabah.

“Kenapa Michael Chia mandi, Robert Phang pula yang basah? Apa kaitan mereka? Apakah kerana dia kawan rapat Ketua Menteri Sabah, maka dia ingin menunjukkan kejantanannya dengan menjerut SPRM?” tanya Mutalib yang agak kesal dengan kelancangan Robert Phang yang ‘terlompat’ dan ‘bertaichi’ ketika Azan sedang dikumandangkan.

Kata Mutalib, selama ini hanya Sabahkini.net yang berani memantau kes berkenaan kerana semua media di Malaysia telah ‘Black Out’ tanpa sebab yang munasabah walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) datang ke Kota Kinabalu untuk mengambil kenyataan salah seorang Pemegang Amanah akaun yang dibekukan, iaitu Richard Christopher Barnes.

“Mengikut undang-undang, setelah sesuatu penyitaan wang dilakukan, ianya perlu mendapat perintah mahkamah. Hong Kong adalah salah satu Negara yang berintegriti kerana ICAC disegani Negara serantau. Setelah 16 juta dollar Singapura dirampas daripada Michael Chia pada 14 Ogos 2008, Kerajaan Hong Kong mempunyai hak untuk menyimpan harta yang disita selama beberapa tempoh,” ujar Mutalib lagi.

Tempoh tersebut kata Mutalib akan tamat pada 27 Oktober 2010 dan memaksa ICAC Hong Kong untuk memohon perintah mahkamah bagi melanjutkan tempoh penyitaan 16 juta dollar Singapura dan 430 juta USD dalam akaun milik VVIP Sabah yang dibekukan di Hong Kong and Shanghai Bank, Central Hong Kong.

“Michael Chia dan pemegang amanah ingin mencabar perintah lanjutan penyitaan tersebut setelah gagal melakukan pelbagai modus operandi untuk mencairkan semua wang haram yang disita dan dibekukan. Jadi mereka perlu ke Hong Kong sekalipun tertuduh tidak perlu hadir,” ujar Mutalib yang meminta Robert Phang menghormati kebebasan aliran maklumat media kerana beliau (Robert) juga adalah pengamal dan pemilik media (Penerbit The Star).

Masalah ICAC kata Mutalib, adalah isu antarabangsa, masalah SPRM adalah isu glokal yang gagal ditangani SPRM secara professional dan memudarkan keyakinan rakyat kerana hampir kesemua kes yang didakwa di mahkamah gagal dan penjenayah terlepas; terutama kes Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd Don.

Tegas Mutalib, jika Robert Phang berani, beliau hendaklah membuat kenyataan bahawa tiada kes Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang disiasat SPRM di Sabah atau mempunyai kaitan dengan Hong Kong.

“Nyatakan sahaja seperti sebelum ini, iaitu ‘No Case To Answer’. Jika demikian halnya, kenapa SPRM menangkap Michael Chia Tien Foh, Datuk Nasir Yeo Guan Hock, Azlan Yeo, Loh Man Heng, Freddy Lim, Andrew Lim, Richard Barnes, Admund Looh, Yap Loo Mien, Chong Siak Nyen, CL Tan dan sebagainya direman antara 3 hingga 5 hari,” kata Mutalib yang memaklumkan hampir kesemua mereka ditangkap antara 8 hingga 10 Jun 2010 dan dikenakan ikat jamin tunai RM50,000 setiap seorang.

Tegas Mutalib lagi, pendedahan Sabahkini.net tidak ada kena mengena dengan pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi kerana Sabahkini.net telah menyiarkan Skandal Penggubahan Wang Haram ini secara konsisten sejak Februari 2009.

Dalam pada itu, Sabahkini.net juga menerima maklumat sahih bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (yang disyaki terlibat dengan Skandal Michael Chia) dan semua kroninya telah diarah mengisytiharkan harta melalui laporan Kes 113/2009 yang berbunyi;

“Pesuruhjaya/Timbalan Ketua Pesuruhjaya/Ketua Pesuruhjaya mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai, berdasarkan penyiasatan bahawa satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) di bawah Akta itu berkaitan Nombor Aduan 113/2009 telah dilakukan oleh Datuk Seri Musa Haji Aman, Nombor kad Pengenalan 510330-12-5093 dan kamu selaku saudara/sekutu orang yang tersebut dipercayai dapat membantu dalam penyiasatan ini dan dengan ini mmeberi notis mengkehendaki kamu supaya memberi pernyataan yang benar dan mendedahkan segala maklumat yang diketahui secara bertulis dengan bersumpah atau berikrar.”

Namun sehingga kini, Musa dan Kroninya belum mematuhi Notis Pengistiharan Harta berkenaan walau tempoh (termasuk lanjutan tempoh) diberikan telah tamat dan tetapi SPRM termasuk Robert Phang berdiam diri!

No comments:

Post a Comment