Thursday 7 October 2010

PENDUDUK HAMPILAN KELIRU PEMASANGAN PAIP



Oleh: IBRAHIM TABIR

LEBIH dua puluh buah rumah di kawasan Kg.Hampilan dekat sini termasuk empat buah rumah PPRT di situ mungkin tidak dapat merasai 'nikmat sebenar erti pembangunan' kerana paip utama yang sepatutnya disalurkan masuk ke kawasan berhampiran rumah mereka belum kelihatan meskipun kawasan lain di kampung yang sama sudah melalui proses pemasangan paip berhampiran jalanraya.

Ketua Cawangan Umno Kg.Hampilan, Ladjamura Dahirin ketika membawa wartawan ke lokasi itu berkata, beliau mendapati paip utama sudah dipasang di tepi jalanraya di hadapan rumah penduduk kampung tersebut yang meliputi banyak rumah termasuk di kampung berdekatan seperti Pangi.

"Saya maklum, paip utama di kampung Hampilan ini ada yang masih dalam proses pemasangan dan ada yang sudah siap. Tetapi, kawasan berhampiran rumah saya dan beberapa penduduk yang tinggal berdekatan di sini belum ada lagi paip utama," katanya sambil menunjukkan lokasi tempat paip utama berdekatan jalan raya yang jauh dari kawasan rumah beliau.

Ladjamura berkata, lokasi rumah yang belum mempunyai paip utama di situ hanya terletak 500 meter dari jalan utama kampung tersebut.

"Jika paip utama tidak disambung masuk ke kawasan terbabit di dalam pelusuk sana, tentunya menyukarkan penduduk untuk mendapatkan air paip kerana sukar membuat penyambungan. Takkanlah kami mahu membeli paip utama atau paip besar dan suruh pasang masuk ke kawasan rumah. Lagipun jaraknya yang jauh itu memerlukan kos tinggi?," soal Ladjamura sambil menggesa pihak berkenaan mengambil perhatian dalam perkara itu bagi mengelak berlaku 'penyalahgunaan' dalam kos projek pemasangan paip di kawasan kampung tersebut.

Menurut Ladjamura, beliau telah memanggil Jurutera Jabatan Air Daerah Kunak baru-baru ini dan memantau keadaan di sana dan memberitahu perkara itu. Jurutera itu memberi jaminan akan merujuk perkara terbabit kepada pihak berkaitan.

Ladjamura berkata, ketika ini, penduduk kampung tersebut masih menggunakan air perigi dan mengharapkan curahan air hujan untuk kegunaan harian mereka.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan BN yang prihatin kepada rakyat. Kami sangat mengharapkan erti pembangunan sebenar itu dapat dikecapi apabila kami dapat merasai sebenarnya bekalan air paip yang akan disalurkan ke kampung ini," ujarnya.

Beliau berkata, "Jika paip utama boleh dipasang berhampiran rumah-rumah lain di kampung tersebut, maka tidak ada alasan untuk meminggirkan rumah-rumah penduduk yang lain di sini kerana mereka juga penduduk tempatan dan pengundi yang telah memastikan kemenangan Barisan Nasional setiap kali pilihanraya", jelas Ladjamura.

Tegas Ladjamura, beliau telah maklum bahawa Adun Kunak juga komited dalam memastikan bekalan air paip dapat disalurkan ke rumah-rumah penduduk di kawasan itu selewat-lewatnya pada tahun hadapan selepas projek menaiktaraf Loji Air Kalumpang bernilai RM 40 juta siap.

Adun Kunak Datuk Nilwan Kabang sebelum ini berkata, proses pemasangan paip utama dan pemasangan paip baru bagi menggantikan paip-paip lama sedang dijalankan di seluruh daerah itu sebelum penyaluran bekalan air bersih dijalankan apabila siapnya Loji tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ladjamura memuji usaha kerajaan sekarang ini yang bersungguh-sungguh memastikan keperluan dan keinginan rakyat dapat dipenuhi apabila jalanraya di Kampung Hampilan dan beberapa kampung berdekatan lain seperti Pangi Tengah dan Pangi Hujung sudahpun ditar.

No comments:

Post a Comment