Sunday 24 October 2010

PENGUNDI PERLU BIJAK MEMILIH PRK BATU SAPI



Oleh: GONOD SUNDA

PENGUMUMAN Presiden UMNO Dato’ Seri Najib Tun Razak yang diselitkan dengan sekilas pantun kiasan tepat memberitahu perwakilan UMNO, ketika menutup perhimpunan Agung UMNO bahawa bermula tahun hadapan beliau dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyddin Yassin akan ‘turun padang’ ke seluruh Negara untuk bertemu rakyat sebagai persiapan PRU13.

Dengan pengumuman Najib itu maka jelaslah kepada semua rakyat bahawa PRU13 ada kepastian akan diadakan lebih awal dari jadual asal 2013. Itu pun bergantung bagaimana bentuk sentimen pengundi di kedua-dua kawasan PRK iaitu DUN Galas Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah; sama ada memihak kepada BN atau kepada pembangkang.

Jika kedua-dua PRK kawasan DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi jatuh kepada pembangkang, besar kemungkinan PRU13 akan berada di sekitar lingkungan yang paling dekat sekali sekitar tahun depan kerana UMNO khuatir khususnya di Semenanjong kemenangan pembangkang dalam kedua-dua PRK dapat menghancur persiapan mereka terutama UMNO dalam misi mempertahan ‘Putrajaya’.

Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini jelas menunjukkan ia salah satu medan perhimpunan untuk membaharui tekad dan kekuatan UMNO untuk mempertahankan ‘Kuasa’ yang ada pada mereka supaya dipertahankan dan bukan perhimpunan UMNO untuk perkara biasa seperti sebelumnya.

Ketiga-tiga sayapnya Pemuda, Wanita dan Puteri telah dikerah memberi pesanan berapi-api sehingga ketuanya berbuih-buih mulut berucap menyampaikan kata-kata dorongan di paras maksimum supaya bangkit mempertahankan kedudukan UMNO berteraskan, kononnya untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu sehingga kedengaran mengheret kuasa Raja Raja Melayu.

Kenyataan tegas Najib dalam perhimpunan UMNO itu jelas membuktikan kepada rakyat Sabah bahawa inilah bentuk penjajahan baru yang bakal diterima oleh RAKYAT SABAH jika rakyat Sabah itu sendiri masih terpinga-pinga dan terkial-kial menyokong dan mendokong parti parti Semenanjung yang tidak mungkin beria-ia menuruti kehendak kita (setelah berkuasa) untuk kita menagih hak kuasa autonomi di Sabah selain parti tempatan dan pemimpin yang tulen seperti SAPP untuk menggalas tugas dan tanggung jawab itu.

RAKYAT Sabah sejumlah populasinya, 3.5 juta dan seramai 1.8 juta berstatus Bumiputera Islam bercampur dengan status kerakyatan ‘ketidakpastian’ tetapi memiliki ‘MyKad’, manakala baki selebihnya adalah rakyat tulen Sabah dari golongan Bumiputra bukan Islam termasuk Cina dan sebagainya sudah kelihatan ibarat ‘terbalik tongkang’ (bahasa tempatan Sabah) bukan suatu perkara remeh-temeh lagi, tetapi ia perlu tindakan yang lebih serius untuk menanganinya.

Selepas pihak Persekutuan sudah tidak mendengar lagi rintihan dan rungutan rakyat Sabah melalui pemimpin-pemimpin yang prihatin termasuk kesungguhan wartawan tempatan merungkai permasalahan itu di media mahupun pendedahan dalam buku, namun pihak Kuala Lumpur masih membisu seribu bahasa.

Sehingga ke hari ini, masalah itu terpampang di mata kita kerap menjadi persoalan rakyat Sabah bahawa, apakah masalah ini perlu dilepaskan begitu sahaja? Adakah kita terus mengalah dan mendiamkan diri? Rakyat perlu bijak menelaah jawapannya, bahawa dengan memilih pembangkang Datuk Yong Teck Lee untuk mewakili rakyat Sabah menerusi PRK Parlimen Batu Sapi untuk merungkai segala kemungkaran dan penyelewengan itu di Parlimen adalah jalan sebaik-baiknya.

Rakyat harus terus bertekad untuk mempertahankan integriti kita sendiri kerana sejarah telah banyak mengajar kita berbuat sedemikian, sementelahan pula kita telah dikejutkan beberapa parti tempatan yang telah berjasa kepada rakyat Sabah seperti Parti USNO, Parti Berjaya dan Parti AKAR turut berkubur kerana diarah dibubarkan oleh pemimpin Semenanjung, hanya semata-mata memberi laluan kepada kehadiran UMNO ke Sabah.

Mantan Naib Presiden USNO, Datuk Karim Ghani ketika mengumumkan perletakkan beliau dalam UMNO baru-baru ini ada menjelaskan bahawa rakyat Sabah khususnya ahli-ahli USNO telah tertipu dengan kelibat UMNO kerana selepas USNO dibubarkan, kemudian apa yang disyaratkan USNO tidak dipedulikan.

Jelas Karim lagi, kesediaan USNO dibubar adalah untuk memberi ruang kepada UMNO untuk menumpaskan kerajaan PBS yang pernah menikamnya dari belakang dalam tahun 1990-an, tetapi setelah PBS kembali rujuk ke pangkuan BN ,kini mereka berpeluk peluk erat dengan UMNO dan membiarkan bekas ahli-ahli USNO gigit jari di belakang mereka.

PRK Batu Sapi ada sebab dan alasan untuk pengundi Melayu (bekas ahli USNO) menghukum PBS kali ini kerana jika disingkap sejarah kecemerlangan PBS sekitar tahun 1985, USNO pernah membantunya untuk menumbang kerajaan Parti Berjaya malah kedua-dua USNO dan PBS ada memeterai perjanjian untuk bekerjasama menubuh kerajaan campuran di Sabah. Tetapi selepas PRU 1985, PBS menodai perjanjian itu yang jelas PBS juga sebuah parti yang tidak boleh diharap kerana pernah mengkhianati pengundi Melayu.

No comments:

Post a Comment