Monday 11 October 2010

PUTARAN DARJAH KEBOHONGAN MELAYU



Oleh: NASPAZI

SEJARAH akan menguji kebenaran paradigma ini dengan bukti masa kini pada waktu muka, yang berhubung dengan situasi sekarang, kerana pemimpin barua Melayu UMNO di Sabah masih belum sedar; atau pura-pura tidak sedar tentang kedurjanaan dasar politik ‘IC Projek Melayu UMNO’ yang telah mengakibatkan pribumi Sabah hilang kuasa, atau tiada kuasa lagi dalam menentukan hala tuju bernegara sendiri, di samping pelbagai kerugian pinggiran yang bukan kepalang.

Betapa Sabah yang pada mulanya adalah sebuah wilayah yang mewah dan kaya raya, tiba-tiba gerombolan Melayu UMNO mewar-warkan Sabah sebagai negeri yang termiskin.

Justeru, Melayu UMNO dan baruanya sah telah memimpin Sabah ke arah kemunduran. Dengan ungkapan lain, mereka yang memimpin Sabah, tetapi mereka jugalah yang mewar-warkan Sabah sebagai negeri yang termiskin. Siapakah yang bebal dalam hal ini, atau sungguh Melayu UMNO dan baruanya memang muflis harga diri dan tidak bertanggungjawab kerana memiskinkan Sabah.

Saya tegaskan bahawa, Melayu UMNO dan barua kuda tunggangannya, memang boleh memutar darjah kebohongan mereka tentang Sabah sebagai negeri yang termiskin ribuan kali, tetapi waktu yang merakam pengadilan abadi sejarah, hanya tersenyum mengejek hina dakwaan karut mereka. Merekalah yang bertanggungjawab memiskinkan Sabah atau memimpin Sabah ke arah kemiskinan.

Lantaran itu, seluruh pribumi Sabah wajib mengheret mereka ke longkang kekalahan dan kehancuran di tangan demokrasi. Tegasnya, seluruh pribumi Sabah wajib serentak bangun, ke arah melancarkan satu revolusi damai di kuasa undi dengan menghancurkan pemerintahan durjana Melayu UMNO dan tali barutnya di muka bumi Sabah ini.

Bahaya besar dasar politik IC projek melayu UMNO begitu nyata. Tanpa kesedaran dan keazaman untuk menentang dasar terkutuk mereka habis-habisan, nescaya kehancuran mutlak bagi pribumi adalah suatu yang pasti.

Kebangkitan pribumi Sabah ke arah menghancurkan melayu UMNO dan proksinya yang telah membiakkan kemiskinan dan pemerasan semakin mendesak untuk disegerakan. Amanah kebangkitan bersatu pribumi Sabah ke arah memusnahkan dasar terkutuk Melayu UMNO dan barua proksinya, bukannya sesuatu yang jatuh dari langit, tetapi hendaklah berasaskan kepada penyertaan menyeluruh pribumi Sabah dalam melawan kedurjanaan itu sendiri.

Yang demikian, saya pernah menyarankan pengujudan satu organisme kebangsaan untuk Sabah, bagi menyatukan seluruh cendekiawan terbaik warga Sabah bagi mengemudi Sabah menjadi kaya dan makmur semula.

Selagi pemerasan dan penindasan, dalam bentuk pengkhianatan terhadap konsep kuasa autonomi negara bersekutu, dalam konteks pembentukan Malaysia yang menjadi hak mutlak pribumi Sabah dalam perkara 20, kebangkitan menentang Melayu UMNO di segala penjuru dan sudut wajib disemarakkan.

Niat sebenar pribumi Sabah untuk merdeka dari penjajahan British bukannya untuk dijajah oleh Malaya, laksana keluar dari mulut harimau, masuk ke dalam mulut buaya pula.

Tidak syak lagi bahawa, Melayu UMNO dan baruanya kini sedang tersepit antara rakus kuasa dengan muflis moral. Justeru, instrumen negara telah dan akan terus mereka peralatkan sebagai kuda tunggangan dalam usaha mengatur logik busuk mereka, sehingga yang bijaksana menjadi hina.

Sebaliknya yang hina menjadi mulia, bagi memenuhi rakus mereka dalam usaha merompak khazanah kekayaan Sabah dan ekonomi negara, dari hasil titik peluh rakyat, bagi membeli maruah sesama manusia, yang tergamak menjual maruah dirinya untuk menjadi kambing hitam lantaran kedua-duanya hina.

Sesungguhnya, sejarah adalah peristiwa yang sentiasa dirakam oleh waktu. Waktu tidak pernah mungkir dari merakam segala ungkapan lidah biawak komodo yang menjadi pelengkap kepada ruang kesarjanaan agung Melayu UMNO dalam berbohong.

Lantaran sentiasa memungkiri janji mereka kepada rakyat dengan pelbagai penipuan, termasuklah dalam konteks Perkara 20 perjanjian pembentukan Malaysia sebagai helah bela diri mereka yang terkutuk. Namun begitu, lambat laun baka warga Sabah yang baru akan menyedari dan menginsafi, betapa kebangsatan Melayu UMNO dan proksinya, laksana pokok kayu reput yang hanya menanti masa untuk tumbang.

Justeru, betapa keazaman ke arah menumbangkan regim pimpinan Melayu UMNO dan baruanya yang terdesak kini adalah tanggungjawab bersama yang murni seluruh warga Sabah, bahkan warga Malaysia, tanpa memperalatkan sentimen agama dan kaum,

Tanpa segan silu mereka mengatasnamakan agama dan kaum untuk menghalalkan provokasi jahat bagi mencetuskan kacau-bilau dan huru-hara negara, sebagaimana gurindam dari kubur Raja Mendaliar yang tiba-tiba bangkit untuk mendendangkan lagu bahaya jika Melayu hilang kuasa kononnya. Apa nama kononnya?

Pada hal, merekalah jembalang itu, yang telah merancang pemberian jutaan IC Projek Melayu UMNO kepada PTI (Pendatang Tanpa Izin) di Sabah yang nyata telah menjadi gelombang tsunami pemusnah kuasa pribumi Sabah dalam arena ekonomi dan politik.

Antara politik dan kepemimpinan laksana wang dan nilainya, atau bagaikan ikan dan air yang tidak dapat dipisahkan. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu memberikan teladan yang terbaik; yang berupaya memberikan kesejahteraan kepada rakyat yang dipimpin, sehingga menjadi kenangan dalam ukiran minda generasi mendatang zaman berzaman.

Sesungguhnya, apa yang menjadikan pemimpin yang cemerlang bahagia, bukanlah kesejahteraan, tetapi yang membuatkan rakyatnya sejahtera itulah kebahagiaan terbesar seorang pemimpin yang cemerlang.

Pemimpin yang cemerlang juga, akan membangkitkan semangat kepemimpinan cemerlang kepada generasi mudanya, ia tidak berfikiran terancam atau terasa-rasa diancam oleh generasi mudanya, sehingga memungkinkan pelbagai bentuk konspirasi jijik, sebagaimana yang telah dan sedang berlaku kepada otak Melayu UMNO, sehingga membabitkan begitu banyak instrumen negara bagi menegakkan benang basah fitnah bohongnya.

Betapa gelombang saintifik yang menggegarkan dunia hari ini, sebenarnya pernah dibincangkan di Yunani. Justeru, kaedah dan proses pewarisan tradisi falsafah atau keilmuan tinggi Yunani tidak lain dari Socrates mendidik Plato dan Aristoteles berguru kepada Plato dan demikianlah seterusnya.

Dengan ungkapan lain, seorang pemimpin yang hanya ingin kaya dan mewah, yang kemaruk puji dan puja, tidak syak lagi, bahawa pemimpin yang semacam itu sah bukan pemimpin, tetapi penyangak yang hanya layak menjadi bahan lawak sepanjang sejarah!.

No comments:

Post a Comment