Monday 11 October 2010

SALAH FAHAM, PENIAGA MOHON MAAF



Oleh: BADIULZAMAN BADIULRADZI

SETELAH mendapat penjelasan daripada peguamnya, usahawan bumiputera, Hazreeq Putra Hasman yang sebelum ini memberi altimatum 14 hari kepada peguamnya, hari ini memohon maaf secara terbuka di atas keterlanjurannya membuat kenyataan di Sabahkini.net bertajuk ‘Peguam Khianat, Ahli Parlimen Laknat?’

Menurut Hazreeq, pihaknya merasa tertekan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa menuduh peguamnya gagal memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal berhubung pertikaian engkar menyelesaikan hutang sejumlah RM1.5 juta.

“Secara sedar dan setelah diberi penjelasan, saya dengan ini memohon maaf secara terbuka daripada peguam saya, Rakbir Singh kerana beliau tidak bersalah, sebaliknya menjadi mangsa keadaan,” ujar Hazreeq dalam kenyataannya melalui email sebentar tadi.

Kata Hazreeq, Rakbir sebenarnya seorang peguam yang baik kerana tidak berdendam atau membuat tuntutan balas, sebaliknya terus menghubungi beliau untuk menyelesaikan masalah kes tertunggaknya disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan; terutama dalam usaha menuntut hutang daripada syarikat milik Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yusof Mahal, Labindo Engineering Sdn.Bhd yang gagal menyelesaikan bayaran akhir sub-kontrak selepas menamatkan khidmat syarikat Hazreeq, Nautika Innovasi Sdn.Bhd bagi projek membina Pasar Baru Labuan.

“Saya dengan ini menarik balik kenyataan akhbar yang saya keluarkan terhadap Rakbir namun mengekalkan kutukan terhadap Yusof Mahal melalui artikel ‘Peguam Khianat, Ahli Parlimen Laknat?,” ujar Hazreeq yang mengalu-alukan tindakan saman pemula terhadap Ahli Parlimen Labuan yang tidak bermoral tersebut.

Kata Hazreeq, antara beliau dengan Rakbir telah diselesaikan dengan baik dan terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan kelak setelah peguamnya memfailkan saman pemula L 22-08 OF 2010 pada 17 Ogos 2010.

No comments:

Post a Comment