Monday 11 October 2010

SAPP DESAK SIASAT SEGERA KES LIGS



Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah gambar, menegaskan bahawa dakwaan para peneroka Lembaga Industi Getah Sabah (LIGS) Lagud Sebrang kononnya wujud perlakuan curang atau ‘pecah amanah’ ke atas harta hak milik LIGS yang didalangi mantan pengurusnya dan segelintir kakitangan lain; harus dijalankan penyiasatan menyeluruh dan seret petualang itu ke muka pengadilan.

Katanya, perlakuan mereka yang terbabit adalah serius jika dakwaan itu terbukti benar kerana melibatkan kepentingan awam yang mengamanahkan mereka untuk mengurus dengan baik tetapi sebaliknya mereka bertindak ibarat,Harapkan pagar, tetapi pagar pula yang makan tanama”.

“Kita memandang serius dakwaan itu dan meminta pihak tertentu khususnya SPRM agar jangan memilih bulu dalam menjalankan siasatan tersebut. Kita percaya kejadian ini mempunyai rangkaian dengan lain lain jabatan termasuk ‘ikan besar’,” kata beliau yang menggesa Polis segera menjalankan siasatan kerana pecah amanah terletak di bawah bidang kuasa polis.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Tenom, seterusnya menegaskan bahawa kerajaan telah ketirisan hasil yang boleh dianggarkan jutaan ringgit apabila ladang getah yang sudah mengeluarkan hasil bertahun tahun lalu seluas 550 ekar tidak sesen pun masuk ke tabung kerajaan menerusi LIGS.

“Jadi, mengapakah pihak pengurusan LIGS tidak bertindak segera terhadap masalah ini? Jika menurut kenyataan mereka, masalah tersebut telah berlaku bertahun-tahun yang lalu tetapi LIGS memilih jalan mendiamkan diri. Mengapa? Atau mungkinkah ada di sebaliknya?,” kata Jimmy.

Tegasnya lagi, anehnya selepas kegiatan pihak terbabit itu bocor dan sampai ke pengetahuan pihak pengurusan LIGS pusat, pihak terbabit hanya dikenakan tindakan ringan iaitu menukarkan mantan pegawai stesen itu ke daerah lain tanpa melakukan apa-apa tindakan susulan selepas itu.

Kenyataan Jimmy itu timbul ketika mengulas ekoran pendedahan Sabahkini.net menyebut bahawa peneroka mahu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman campur tangan untuk menyelesaikan apa yang mereka dakwa wujud ‘pecah amanah’ yang melibatkan seorang bekas pegawai serta beberapa kakitangan skim itu dalam pengurusan harta dan hasil LIGS Lagud Sebrang.

Bekas Pengerusi JKKK yang juga seorang peneroka, Uran Ontoros yang mendapat sokongan seramai 1,018 tanda tangan peneroka di situ ketika mendedahkan salah laku itu, meminta kerajaan mengambil tindakan tegas menangani masalah tersebut termasuk menyeretkan mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Sementara itu dalam perkara yang tidak berkaitan, Jimmy turut menyelar kerajaan agar mengkaji semula sistem penswastaan yang melibatkan kepentingan awam terutamanya penswastaan untuk penyelenggaraan jalanraya yang telah mendapat tomahan daripada segenap lapisan masyarakat penduduk di ceruk-ceruk kampung berhubung ketidak berkesanannya.

“Adalah lebih baik agar dikaji semula prestasi mereka dengan sekurang-kurangnya mendapat ‘feed back’ daripada para JKKK atau pemimpin kawasan terlebih dahulu sebelum meneruskan perkhidmatan mereka. Jikalau tidak, penduduk kampung yang akan menjadi mangsa keadaan kerana senantiasa tertekan dengan kelibat mereka yang tidak melakukan kerja-kerja yang berkualiti ketika menjalankan penyelenggaraan jalanraya. Kebanyakkan kerja-kerja yang dilakukan ‘cincai’ sahaja,” tegas Jimmy.

Tegasnya, beliau mendakwa telah menerima banyak ‘sms’ sebelum ini berhubung masalah ketidak sempurnaan tugas yang dijalankan oleh pihak swasta yang dipertanggung jawabkan menyelenggarakan jalanraya di peringkat kampung malah ada jambatan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk dibaikpulih.

No comments:

Post a Comment