Saturday 2 October 2010

SAPP SEMAKIN DOMINAN DI TG KAPOR



PENDUDUK Tanjung Kapor memberi sokongan luar dugaan kepada Parti Maju Sabah (SAPP) berdasarkan jumlah kehadiran yang ramai pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kawasan Dewan Undangan Negeri itu.

Jumlah ahli termasuk penyokong parti di kawasan itu semakin bertambah sejak SAPP ditubuhkan 16 tahun lalu.

“Saya sangat terharu dengan jumlah kehadiran yang ramai pada hari ini. Walaupun pada hari ini kita adalah pembangkang tetapi jumlah kehadiran sangat ramai. Kehadiran pada hari ini tidak termasuk mereka yang tidak dapat datang kerana pelbagai sebab termasuk para penyokong yang terdiri daripada anggota kerajaan yang risau akan dikenakan tindakan disiplin,” kata Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Tanjung Kapor di sini.

Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun; Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan; bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.

Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr. Chua Soon Bui, Ketua Wanita merangkap ADUN Luyang Melanie Chia, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Pemuda Edward Dagul dan Pengerusi CLC Tanjung Kapor Datuk Wong Yit Ming.

Yong bersama rombongan pemimpin SAPP turut mengunjungi Kampung Landung Ayang di Kanibongan, Kota Marudu dan Pitas.

Beliau juga berkata bahawa SAPP perlu menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapor kerana semua parti yang memenangi kerusi itu telah berjaya membentuk Kerajaan Negeri yang baru.

Katanya, parti Berjaya memenangi kerusi itu sekaligus menewaskan USNO pada pilihanraya 1976 dan Parti Bersatu Sabah (PBS)turut menang kerusi sama apabila menyingkir Berjaya pada 1985.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, SAPP adalah sebuah parti berbilang kaum tulen Sabah kerana mendapat sokongan padu segenap lapisan rakyat.

Katanya, kehadiran ramai ahli dan penyokong yang terdiri daripada pelbagai kaum pada mesyuarat itu menandakan SAPP mendapat tempat di kalangan rakyat

No comments:

Post a Comment