Saturday 9 October 2010

SHAFIE BERSULTAN DI MATA, BERAJA DI HATI?



Saudara Pengarang,

BERANI kerana benar, takut kerana salah. Saya agak terkilan dengan tindakan seorang ‘Pengecut’ yang hanya menamakan dirinya sebagai ‘Penyokong UMNO Sabah’ kerana cuba merendahkan martabat saya dengan pelbagai tohmahan melalui artikel yang bertajuk ‘Jangan Lagakan Pemimpin Sabah’ di dalam portal kesukaan ramai ini.

Sebagai Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian dan sebagai penyokong kuat Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, saya menggesa agar ‘Si Pengecut’ ini tampil menggunakan nama sendiri dan tidak perlu menyentuh isu peribadi kerana saya tidak pernah menyentuh isu peribadi sesiapa.

Apakah ‘Si Pengecut’ yang bersembunyi dengan nama samaran ‘Penyokong UMNO Sabah’ boleh mendakwa kerana saya penyokong kuat Shafie, maka saya harus tunduk dan mencium tangan beliau semata-mata kerana mahukan projek (sekalipun banyak projek yang saya siapkan belum dibayar KKLW) atau kerana mahu melobi menjadi pemimpin?

Jika bukan kerana saya penyokong kuat Shafie, apalah gunanya saya menegur sikap Shafie yang semakin lari daripada landasan perjuangan setelah bergelar Naib Presiden UMNO dan ingin mengulangi sejarah Tun Sakaran semasa berkuasa?

Oleh kerana saya sayangkan UMNO melebihi Shafie, maka saya terpaksa menegur sikap liar beliau selama ini yang tidak banyak membantu Ketua Cawangan UMNO setelah kami memenangkan beliau sebagai Naib Presiden UMNO.

Bukankah ramai Ketua Cawangan UMNO memiliki lesen kelas F, namun berapa kerat sahaja yang beliau tolong kerana kebanyakan projek pembangunan ‘dimegakan’ dan diberikan kepada kroni dan proksi beliau tanpa melalui tender terbuka; apatah lagi berlaku ‘Top-Up’ dalam penentuan harga kerana faktor manipulasi dan kepentingan politik.

Dalam hal ini, saya tidak menyebelahi Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman atau Shafie kerana nawaitu saya ialah memastikan UMNO bersih daripada salahguna kuasa dan cantas mencantas sesama pemimpin kerana hakikatnya ahli UMNO yang akan menjadi mangsa.

Sewajarnya semua projek di Sabah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah, tidak kira wang tersebut datangnya daripada Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan kerana kita telah bersusah payah menghalau Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dan menubuhkan Jabatan Pembangunan Negeri untuk melaksanakan semua projek persekutuan di Sabah.

Kenapa Shafie memandai-mandai mengubah ketetapan Kabinet Negeri Sabah dan menikam pemimpin UMNN Sabah daripada belakang dengan melaksanakan sendiri semua projek KKLW seolah-olah beliau diberi kuasa autonomi oleh Kabinet Malaysia atau Parlimen Malaysia.

Pengagehan yang tidak sekata dan cuba mencampuri urusan Kerajaan Negeri Sabah menyebabkan UMNO Sabah dilayan seperti ‘anak tiri’ oleh Naib Presiden UMNO sendiri kerana memakmurkan ‘kroni dan proksi’.

Jangan salahkan saya jika semua pemimpin UMNO kalah pada pilihanraya umum akan datang semata-mata kerana Shafie mula ‘bersultan di mata dan beraja di hati’.

Sayangnya saya kepada Shafie melebihi sayang saya kepada keluarga saya sendiri kerana saya sanggup berjuang berkempen untuk memenangkan beliau sekalipun tanpa sebarang penghargaan. Namun itu bukanlah tiket untuk beliau boleh berbuat sesuka hati sehingga teguran saya dianggap sebagai penentangan terhadap beliau oleh kuncu-kuncu beliau yang pengecut.

Kenyataan ‘Si Pengecut’ bahawa kehadiran orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka di Padang Bandaran Lahad Datu memang mencecah 70,000 dan bukannya 7,000 seperti yang saya dakwa merupakan ‘bomeerang’ yang beliau lempar kepada saya tetapi mengenai batang hidung Shafie sendiri.

Budak Tadika pun boleh mengira bahawa tidak mungkin seluruh penduduk Lahad Datu, Kunak dan Tungku yang hanya berjumlah tidak sampai 118,000 orang termasuk PATI dan budak berumur satu bulan meninggalkan rumah mereka dan berpusu-pusu datang memeriahkan majlis berkenaan hanya kerana mahu mendengar Shafie berpidato selama beberapa jam.

Paling ramaipun yang pernah direkod oleh UMNO Silam hanyalah 30,000 orang iaitu pada 1996 ketika menyambut Ketua Menteri Sabah diambang penggiliran jawatan Ketua Menteri dan tidak mungkin dapat mengumpul lebih daripada 30,000 orang kerana UMNO ditahap yang paling merosot; sekalipun ditawarkan wang ringgit.

Akhirkata, saya menyarankan agar ‘Si Pengecut’ menggunakan nama sendiri agar lebih ‘Jantan’ daripada berselubung di bawah ketiak Shafie kerana hanya PATI sahaja yang suka mengampu pemimpin dan takut menonjolkan diri secara ‘lelaki sebenar’.

Salam Hormat,

KUNSUL NAHUL

Ketua Cawangan UMNO Tg Labian, Tungku.

No comments:

Post a Comment