Monday 18 October 2010

TENDER BERKOMPUTER SAH



ADUAN….Lasan bin Tandau sambil menunjukkan surat yang ditandatangani 24 peserta tender yang tidak berjaya mengemukakan kepada SPRM.

Oleh: MAIL MATHEW

PENOLONG Pegawai Daerah Kemabong, Tenom, Fredian Gan ketika dihubungi menjelaskan bahawa pihak Setiausaha Kerajaan Negeri atas nasihat Peguam Besar Negeri telah mengarahkan supaya projek Program Bantuan Rumah (PBR) kawasan DUN Kemabong yang dikendalikan proses pemilihan kontraktor secara berkomputer pada Ogos lalu boleh diteruskan kerana tidak bercanggah dengan prosedur kerajaan.

Tegasnya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melakukan pemeriksaan di sini beberapa bulan lalu sejurus selepas mereka menerima aduan mendapati tiada unsur unsur salah laku seperti yang didakwa pengadu.

“Malahan pihak SPRM juga memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa mereka sudah mendapat taklimat daripada Peguam Besar berhubung dakwaan pengadu yang kemudiannya mengesahkan bahawa prosedur yang dijalankan urusetia kecil Kemabong bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar menggunakan pengundian secara berkomputer adalah merupakan langkah yang tepat dan adil,” kata beliau ketika memberitahu Sabahkini.net.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada rungutan Lasan bin Tandau 45, bertindak selaku wakil para kontraktor yang mempertikaikan pelaksanaan pengundian secara berkomputer antara punca berlaku ketidak adilan dalam pemilihan tender tersebut.

Tegas Lasan, mereka yang gagal mendapat tender tersebut seramai 24 orang meminta pihak SPRM supaya mempercepatkan aduan yang mereka buat sebelum ini untuk menyiasat kes tersebut kerana mereka sudah tertunggu tunggu sekian lama tetapi tiada tindakan.

Lasan mendakwa, adalah tidak lojik apabila kontraktor yang hadir seramai 24 orang semasa pengundian yang dijalankan menggunakan komputer semua gagal mendapat tender, manakala mereka yang tidak hadir seramai 15 orang semua berjaya mendapat tender.

“Kami tidak berpuas hati kerana proses pengundian itu dijalankan secara berkomputer yang kali pertama dilaksanakan di sini dulu tidak pernah begitu kerana ia dilakukan secara manual. So, inilah menjadi keraguan kepada kami sehingga kami buat aduan kepada SPRM,” tegas Lasan.

Difahamkan proses pengundian secara berkomputer telah dijalankan di Pejabat Pengarah Pembangunan Negeri Sabah (PPNS) pada 6 Ogos 2010 yang dihadiri seramai 24 penender daripada 74 penender yang layak dan terdaftar mengikuti tender secara berkomputer sepertimana taklimat yang telah diberikan urusetia daerah Kembong ketika sebelum bermula .

Namun persoalan mereka, bagaimana peserta tender yang tidak hadir boleh berjaya mendapat tender menerusi sistem berkomputer manakala mereka yang hadir tidak berjaya mendapat tender yang menguatkan persepsi negatif mereka terhadap sistem baru diperkenalkan itu, sedangkan mereka telah tahu bahawa berkuatkuasa pada ketika itu semua jabatan disarankan menggunakan sistem tender dilakukan secara berkomputer untuk melupuskan sistem manual yang senantiasa diragui ketepatannya oleh para kontraktor sebelum ini.

Bagaimana pun pihak Pejabat SPRM tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut dari mereka berhubung perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment