Monday 1 November 2010

TSEN REDAH LAUT TEMU PENGUNDI



CALON Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, semalam meredah laut untuk bertemu lebih 500 penduduk di Kampung Tronglit, Pulau Timbang, menggunakan bot.

Sebaik tiba di perkampungan nelayan pagi semalam, balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah itu, bersalaman dengan orang ramai yang berkumpul di jeti. Beliau beramah mesra dengan orang ramai ketika berjalan menuju ke lokasi majlis di padang kampung berkenaan.

Tsen yang sentiasa menguntum senyum tidak kekok berada di tengah-tengah penempatan penduduk miskin. Berbanding pada hari pertama kempen, langkah Tsen kini penuh keyakinan. Beliau hadir ke Kampung Tronglit, bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.

Kehadiran Tsen bukan hanya dinantikan penduduk pulau itu, malah ada antara mereka yang tidak pernah menemuinya tidak sabar menatap wajah calon itu.

Sementara itu, Tsen mengakui masa tidurnya tidak mencukupi sekarang ini tetapi itu tidak menghalangnya meneruskan kempen setiap hari.

“Saya hanya tidur tiga hingga empat jam saja dan paling awal jam 3 pagi setiap hari sekarang ini. Saya banyak menghabiskan masa memenuhi program kempen, bertemu penduduk di Parlimen Batu Sapi dan mesyuarat dengan jentera pilihan raya setiap malam,” katanya.

"Setiap malam sejurus mengetahui program pada esok hari, saya akan memikirkan apa yang perlu dilakukan ketika bertemu dengan rakyat. Saya sentiasa berusaha membaiki kelemahan diri," katanya.

Tsen mengakui amat merindui keempat-empat anaknya dan menjadikan telefon serta internet untuk menghubungi anak-anaknya," katanya.

No comments:

Post a Comment