Monday 18 October 2010

UPKO TERUS TRADISI MEMBELA RAKYAT



SAMBUT….Datuk Bobbey disambut ahli-ahli UPKO semasa ketibaan beliau.

Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Pertubuhan Kebangsaan Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Bobbey Ahfang Suan menegaskan bahawa perjuangan UPKO dulu, kini dan sekarang tetap konsisten dan lantang memperjuangkan hak asasi masyarakat itu, meskipun terdapat tanggapan bahawa UPKO merupakan sebuah parti kerdil.

Katanya, disebabkan itu ada pihak yang beranggapan bahawa kelantangan UPKO dalam menegak demokrasi dan keadilan sesuatu isu yang diketengahkan seolah olah kelibat UPKO belagak seperti pembangkang, di tengah-tengah kelompok parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Asas Tani Negeri Sabah berkata demikian, di hadapan kira-kira lebih 500 ahli UPKO ketika merasmikan Konvensyen Bahagian UPKO kawasan P.181 Tenom, di Dewan Sedcovest, pada Ahad.

Tegasnya, sungguhpun mungkin UPKO dilihat sebagai sebuah parti kerdil namun kemantapan parti itu mampu mengutarakan sesuatu isu relevan yang boleh membantu mengukuhkan jentera kerajaan BN daripada terus menjadi cemuhan rakyat.

“Kita juga terus lantang bersuara termasuk mengkaji semula kepincangan apa yang terkandung 20 Perkara. Jika ia masih belum diperbetulkan BN. Tetapi apa yang kita lihat ketika ini, isu 20 Perkara kini sudah beransur-ansur ditunaikan. Bererti kerajaan BN sudah mendengar dan melayani kehendak kita dalam UPKO,” tegas Bobbey.

Ketika menyentuh bajet B011 yang telah dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini, Bobbey menegaskan bahawa bajet tersebut banyak menguntungkan rakyat di kawasan luar bandar kerana bajet itu tidak meminggirkan golongan miskin dan miskin tegar dalam program bantuan rumah dan yelah mendapat peruntukkan sejumlah RM200 juta di seluruh Negara.

Manakala program mensejahterakan rakyat turut mendapat peruntukan yang lumayan iaitu sejumlah RM1.2 billion untuk dimanfaatkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.

“Apa yang menjadi kekuatiran kita ialah sistem pelaksanaannya yang tidak menepati sasaran, termasuk juga terlalu lambat implementasi menjadikan rakyat merasa gusar dan bosan,” tegas beliau.

Kata Bobbey lagi, terdapat juga pelaksanaan yang tidak menepati sasaran. Sebagai contoh; program bantuan rumah (PBR) dulu dikenali PPRT, kerana mereka yang mampu diberi bantuan manakala mereka yang benar-benar layak terus tersisih.

“Kita sudah kenalpasti mereka yang mampu, tapi yang menerima PBR pula kelibat mereka yang mampu. Selepas dua atau tiga bulan terima PBR, terus dibuat renovation dan kadangkala disambung dan dibesarkan lagi (jadi) orang seperti ini adalah golongan yang mampu. Inilah kesilapan pihak pelaksana,” tambah Bobbey lagi.

Terdahulu, Ketua UPKO Bahagian Tenom, Biou Suyan selain mengalu-alukan bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Beliau juga turut memuji kecekapan pihak PDRM dalam menangani kes-kes jenayah dengan cara paling berkesan, seperti kes pembunuhan Datuk Sosilawati yang melibatkan golongan professional.

“Saya tidak dapat menerima tekanan dan cemuhan yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggung jawab terhadap PDRM sehinggakan maruh PDRM di mata masyarakat terus tercemar,” tegas Biou.

Dalam pada itu, beliau menggesa para ahli UPKO yang menghadiri Konvensyen itu terus meningkat azam dan tekad seterusnya mengekalkan semangat juang yang sedia ada kepada perjuangan BN menerusi UPKO walaupun tidak diberi apa-apa ganjaran.

Sebaliknya tegas beliau, biarpun UPKO telah diwujudkan di sini sejak 16 tahun yang lalu dan beliau adalah salah seorang pengasasnya, namun sehingga kini beliau tidak mendapat apa-apa jawatan mahupun ganjaran. Tetapi perjuangan membawa rakyat ke landasan yang betul seperti yang dinikmati rakyat pada hari ini paling diutamakan.

No comments:

Post a Comment