Thursday 7 October 2010

UPSR DAN PMR PENANDA ARAS PENDIDIKAN



Oleh: CHANG SHAK HUNG

PERBINCANGAN Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung dengan penghapusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) merupakan satu perbincangan yang hanya membuang masa dan tenaga kerana kedua-dua peperiksaan tersebut amat penting dan berkesan untuk membimbing pelajar itu sendiri dalam menilai tahap kecemerlangan akademik mereka.

Walaupun pelbagai alasan dan sebab mengapa kedua-dua peperiksaan ini perlu dihapuskan oleh pihak kerajaan, namun salah satu alasan adalah bagi mengurangkan kebergantungan pelajar dalam aspek peperiksaan dalam meniti ke arah pendidikan yang berteraskan kepada kegiatan ko-kurikulam.

Di samping itu juga, kerajaan juga memberikan sebab untuk mengurangkan rasa tertekan pihak pelajar dalam menghadapi peperiksaan, namun alasan-alasan tersebut langsung tidak dapat diterima memandangkan kedua-dua peperiksaan tersebut telah membuktikan keberkesanan yang berterusan sejak adalah UPSR dan SRP/ PMR.

Adakah pegawai-pegawai kerajaan yang duduk semeja untuk membincangkan perkara tersebut merupakan anak didik yang telah dilahirkan menerusi peperiksaan tersebut? Jikalau tidak adanya kedua-dua peperiksaan tersebut, mustahil mereka akan dapat dinilai pencapaian akademik mereka sehingga melangkah ke menara gading.

Saya sendiri telah menduduki peperiksaan SRP (sekarang dikenali sebagai PMR) pada tahun 1992, tidak begitu bersetuju dengan corak peperiksaan pada masa berkenaan apabila mereka gagal dalam matapelajaran Bahasa Melayu, mereka tidak akan dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4.

Tidak kira pelajar dari kaum melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain lagi, mereka yang gagal matapelajaran tersebut, akan memikirkan nasib hala-tuju yang harus dilalui, samada hendak mencari pekerjaan atau meneruskan pelajaran di sekolah swasta.

Namun pada hari ini, ia tidak berlaku lagi memandangkan peperiksaan ini hanyalah untuk mengukur tahap pencapaian akademik pelajar dan mereka juga dibenarkan untuk meneruskan pelajaran ke Tingkatan 4 walaupun gagal dalam matapelajaran bahasa Melayu.

Jikalau mereka terlalu senang dan tidak ada kerja yang hendak dilakukan, lebih baik mereka duduk semeja untuk mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk mengurangkan peperiksaan dan ujian yang dijalankan oleh pihak sekolah.

Melalui maklumbalas yang diterima daripada beberapa orang guru, mereka melahirkan rasa kekesalan atas sebab penghapusan UPSR dan PMR di samping menambah beban pelajar dalam menduduki ujian dan peperiksaan di sekolah asming-masing.

Salah sebuah sekolah menengah yang terdapat di Sandakan, begitu mementingkan peperiksaan sehinggakan terdapat 4 peperiksaan utama dan 3 kali ujian bulanan yang perlu dihadapi oleh pelajar dalam masa setahun. Adakah pegawai pendidikan sedar dengan permasalahan yang membelenggu anak murid pada zaman ini?

Secara tidak langsung beban guru akan bertambah kerana terpaksa memeriksa kertas peperiksaan dan ujian di samping dibebani oleh aktiviti ko-kurikulum setiap minggu. Kerajaan juga telah membenarkan pihak guru dan pendidik untuk menyertai politik yang telah tersimpang jauh dalam mendidik pelajar ke arah kecemerlangan negara di masa hadapan.

Oleh yang demikian, kerajaan haruslah sedar bahawa mereka tidak harus meminggirkan rakyat dengan membuat keputusan tanpa mengambil kira pendapat umum serta ‘track record’ yang telah dicapai sehingga ke hari ini.

Ramai kakitangan kerajaan serta golongan profesional seperti peguam, doktor, jurutera, warga pendidik, ahli perniagaan dan ahli politik itu sendiri yang telah lahir menerusi kedua-dua peperiksaan itu sendiri. Para ibu bapa juga mengharapkan anak mereka tidak tertekan dengan peperiksaan yang banyak, namun penghapusan UPSR dan PMR bukanlah caranya.

Saya berharap para pegawai kementerian menerusi pejabat pendidikan daerah itu sendiri, dapat turun padang untuk memahami permasalahan dari segi jumlah peperiksaan dan ujian yang banyak di sekolah daripada mencari alasan bagaimana UPSR dan PMR dapat dihapuskan.

No comments:

Post a Comment