Sunday 31 October 2010

WANITA HARAPKAN KEMENANGAN DATIN LINDA



Oleh : NUR ADIKA BUJANG (BERNAMA)

KAUM wanita kawasan Parlimen Batu Sapi menaruh harapan agar kemenangan menyebelahi calon Barisan Nasional Datin Linda Tsen Thau Lin pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu 4 Nov ini.

Mereka percaya Tsen, yang mudah mendekati rakyat, mampu membela nasib mereka, terutama masalah berkaitan wanita dan keluarga.

Jamilah Madi, 60, dari Sri Taman, Sekong, berpendapat BN masih diperlukan untuk membela mereka kerana pengalaman dan pengetahuan meluas parti itu terhadap masalah rakyat.

"Selama ini BN bersama kami, pelbagai bantuan telah kami terima. Saya tidak yakin parti lain mampu menunaikan janji mereka kepada kami seperti yang terlaksana oleh BN," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama jentera Pilihan Raya Wanita BN Batu Sapi di sini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ibu kepada empat orang anak itu menyedari hakikat itu apabila salah seorang anaknya yang beruia 41 tahun diserang demam panas menyebabkan seluruh badannya lumpuh sejak tiga tahun lalu.

Katanya, anak perempuannya itu hidup dalam keadaan serba kekurangan dan mempunyai dua anak berusia 14 dan 8 tahun yang bersekolah dengan pendapatan suaminya, seorang nelayan, pula tidak menentu.

"Tetapi saya bersyukur sejak BN memerintah, kerajaan menunjukkan keprihatinannya dengan memberi bantuan kebajikan sebanyak RM210 sebulan, walaupun kecil, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban keluarga anaknya itu yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

"Kalau dulu, kita tidak pernah dengar bantuan kebajikan atau bantuan OKU atau bantuan warga emas yang dibayar setiap bulan oleh kerajaan," kata Jamilah, sambil menambah anaknya itu, dengan bantuan keluarga, tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada pilihan raya umum lepas.

Suri rumah Jumaida Kinson, 39, pula berkata beliau gembira BN mencalonkan seorang wanita untuk mewakili mereka. Yang lebih menggembirakannya ialah Tsen dianggap lebih berpengalaman dan memahami kawasan Batu Sapi berbanding calon lain kerana beliau kerap menemani mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, berjumpa rakyat semasa hayatnya menjadi anggota Parlimen kawasan Batu Sapi.

"Mereka (calon pembangkang) tidak pernah datang sini. Macam mana mereka mahu tolong kami?

"Dulu semasa Datuk Yong Teck Lee (calon Parti Maju Sabah atau SAPP) jadi ketua menteri, tidak pernah dia melawat kami.

"Selepas itu, tiba-tiba sahaja dia (Yong) keluar BN. Padahal dia tahu BN banyak berjasa. Jadi bagaimana kami mahu mempercayai janji dia sekiranya dia menjadi wakil kami?" katanya.

Pada majlis itu, Musa berkata pemilihan Tsen sebagai calon merupakan penghormatan kepada golongan wanita yang terkenal dengan sifat kesetiaan mereka menyokong kerjaya suami.

"Semasa beliau (Tsen) menawarkan diri untuk menjadi calon, saya dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Bersatu Sabah) tersentuh dengan hasratnya untuk menyambung kerja mendiang suaminya.

"Inilah sifat terpuji seorang wanita. Selama ini dia berdiri teguh di belakang suami dan selepas kematiannya, isteri pula meneruskan perjuangan.

"Kalau wanita begitu memahami dan menyokong kaum lelaki, kenapa tidak lelaki menyokong wanita pula," katanya.

Terdahulu, Shahrizat menasihatkan jentera wanita BN supaya tidak terlalu yakin untuk memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Katanya, walaupun kawasan Parlimen itu merupakan kubu kuat BN, kerja berkempen perlu diteruskan sehingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan sokongan rakyat, terutama pengundi, terhadap BN tidak goyah.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian Chong dalam kemalangan jalanraya pada 9 Okt lepas.

Kawasan itu mempunyai 25,582 pengundi, yang mana 45.92 peratus daripada jumlah itu adalah pengundi wanita.

No comments:

Post a Comment