Friday 22 October 2010

YONG TECK MENGHANTUI PAKATAN RAKYAT?



Oleh: PAK MAIL

KEENGGANAN dan kedegilan para pemimpin DAP Sabah khususnya Dr Hiew Keng Chew dan Dr Edwin Bosi mengiktiraf SAPP sebagai sebuah parti tempatan Sabah mengakibatkan ada pengundi di PRK Parlimen Batu Sapi merasa muak lalu melabelkan kedua-dua pemimpin ini ibarat ‘pemimpin kera sumbang’ kerana membawa sandiwara lapUok yang membosankan, malah gagal memikat hati RAKYAT warga Sandakan.

Mustahil Hiew dan Bosi tidak faham faham bahawa semua urusan pendaftaran bagi sesebuah parti sewajarnya dibuat di Kuala Lumpur untuk kelulusan, namun fokus perjuangan tidak semestinya tidak boleh ditumpukan kepada hal ehwal politik wilayah Sabah. Sikap sedemikian yang ditunjukkan Hiew dan Bosi jelas menunjukkan seolah-olah mereka berada di zaman politik kebudak-budakan.

SAPP mempunyai hak mutlak untuk mengembangkan perjuangannya di Sabah tanpa sebarang ragu-ragu berdasarkan Perlembagaan SAPP yang telah diluluskan oleh Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS), sebaliknya bukan kuasa Hiew atau Bosi yang terloncat-loncat seperti ‘kera kena belacan’ mempertikaikan kedudukan SAPP dalam kancah politik di Malaysia.

Gagasan PR mungkin mengalami seribu kekesalan dan penyesalan jika nasib calon mereka kecundang di PRK Parlimen Batu Sapi hanya kerana terpalit sindrom politik tidak menentu dan hipokrit yang ditunjukkan oleh dua pemimpin DAP jika mereka terus dibenarkan oleh jentera kempen PR untuk kedua-duanya bermain sandiwara politik yang berirama keceluparan dan berwatak keegoan yang bakal dilakonkan Hiew dan Bosi.

“Apa pula salahnya SAPP meletakkan calon untuk bertanding di PRK Batu Sapi? Mustahil SAPP menunggu arahan Hiew untuk menentukan masa hadapan SAPP. Lagipun siapa Hiew untuk mengarah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah suatu ketika dahulu? Janggut setompok didagu tidak bererti jaguh politik untuk segala galanya,” tegas salah seorang pengundi Parlimen Batu Sapi, Ahmad Zakaria.

Seperkara lagi, kata Ahmad Zakaria, keceluparan dan keegoan Hiew terus digunakannya untuk menghentam keromo menuduh dan memfitnah Yong dengan kata-kata yang tanpa usul periksa kesahihannya berhubung tindakan Yong meninggalkan PBS dan menubuhkan SAPP di saat-saat akhir PRU 1994.

“Tahu benarkah Hiew kenapa Yong menubuhkan SAPP selepas PBS yang ditunjangi Pairin kerana ketika itu Pairin tidak memerlukan lagi khidmat Yong? Sebagai seorang pemimpin politik yang bermoral dan masih dihormati rakyat, sudah tentu hak Yong untuk menubuhkan partinya sendiri terus digunakannya. Jika Yong tidak disenangi rakyat (selepas meninggalkan PBS) pada ketika itu, mengapa Yong memenangi sekali lagi Dun Likas pada PRU 1994 selepas Yong menyertai BN,” soal Suniran pula yang merupakan pengundi dari Karamunting.

Hiew harus berterima kasih kepada Yong dan SAPP kerana meninggalkan BN untuk menjadi sebuah parti pembangkang yang sealiran dengan DAP, PKR dan PAS meskipun bukan dalam Gagasan PR supaya moral perjuangan PR untuk mara ke Putrajaya lebih terserlah, tetapi Hiew sebaliknya memasang perasaan irihati dan cemburu yang tidak sudah-sudah terhadap pengalaman dan kewibawaan Yong.

Sebagai rakan yang sealiran dalam pembangkang, sudah pastilah Hiew menggunakan kesempatan itu untuk memperkecil-kecilkan kewibawaan kerajaan BN yang hampir hampir tumbang pada ketika itu, namun Hiew terus bergelut dengan perasaan politik yang tidak selamat sekiranya Yong berada di pembangkang bersama Hiew.

Persoalannya sekarang, apakah rasionalnya Hiew bersimpati dengan PBS dan Tan Sri Pairin apabila Yong bertindak sedemikian sehingga ke hari ini masih diungkit-ungkit Hiew? Sekiranya Hiew merasa sakit hati dan dendam kesumat terhadap tindakan Yong itu, mengapa pula Hiew bersusah payah menyertai DAP, sebaliknya Hiew terus sahaja menyertai PBS untuk menggantikan tempat yang Yong ditinggalkan itu? Sama seperti Bosi yang pernah menjadi ahli UMNO Penampang, PKR dan kini DAP sentiasa pula meragui kedudukkannya dalam parti.

SAPP dan Yong Teck Lee mempunyai bukti yang jelas penerimaan RAKYAT Sabah terhadap kepimpinannya selepas sahaja SAPP dan Yong keluar daripada BN. Buktinya Yong terus dikerumuni rakyat pelbagai lapisan masyarakat bangsa dan kesukuan tanpa mengira anutan agama di mana sahaja beliau berada, akan tetap dikerumuni rakyat. Trend sebegitu menunjukkan Yong terus digeruni dan diyakini rakyat sepertimana yang rakyat pernah alami sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu.

Tuduhan demi tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan Hiew dan Bosi yang politiknya sudah semakin basi sukar diterima rakyat di zaman kemantangan berpolitik, kerana rakyat lebih matang menilai ‘mana dia kaca, mana pula permata’. Sebaliknya mereka bukan sebegitu mudah mengikut telunjuk Hiew dan Bosi dalam menentukan halatuju perjuangan politik pengundi-pengundi Parlimen Batu Sapi.

Jelaslah kepada rakyat bahawa Hiew dan Bosi sebenarnya pemimpin politik yang tidak boleh diharap dan senantiasa diulit keraguan rakyat, khususnya para pengundi Parlimen Batu Sapi kerana mengutarakan kenyataan-kenyataan yang berbaur fitnah, pembohongan dan dendam kesumat yang tidak bernoktah.

Masa hadapan rakyat Parlimen Batu Sapi hanyalah bergantung kepada kebijaksanaan mereka untuk memilih sama ada BN atau SAPP mahupun PR yang mereka bakal nobatkan sebagai pemimpin yang mewakili mereka di Dewan Rakyat selepas PRK Batu Sapi.

Namun halatuju dan fokus perjuangan SAPP dalam PRK Parlimen Batu Sapi menjadikan Batu Sapi sebagai tapak permulaan SAPP untuk melebarkan prinsip halatuju perjuangannya untuk mengembalikan kuasa autonomi di Sabah, mengkaji hak hak asasi rakyat Sabah sepertimana yang terkandung dalam 20 Perkara dan mengkaji pengagehan khazanah kekayaan hasil galian dan gas di Sabah.

Rakyat yakin, SAPP akan buktikan kepada mereka bahawa rakyat Sabah sendiri mampu melakukannya bersama parti unggul Sabah dan bukan sekadar janji omongan kosong.

No comments:

Post a Comment