Friday 5 November 2010

ANGKA TETAP ANGKA, TAPI BN TETAP MENANG!



Oleh: GAN SEI YANG

DAKWAAN berlakunya rasuah untuk membeli undi melalui beberapa cara termasuk wang tunai dan projek Zing serta membaiki rumah, namun semua calon menerima keputusan pilihanraya kecil Batu Sapi dengan hati yang terbuka.

Kemungkinan PKR akan memfailkan Petisyen Pilihanraya selepas diwartakan amat besar berdasarkan bukti yang mereka ada, sekalipun sukar untuk mencari saksi yang boleh membuktikan melampaui keraguan munasabah di Mahkamah Undang-Undang.

Calon PKR turut mendakwa kemenangan Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin melalui jalan tipuan dan rasuah; termasuk mengakui telah membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada SPRM, namun belum disiasat; lalu mengatakan akan memasukkan bukti ke laman web sosial, You-tube.

Begitu juga Yong yang mendakwa dikhianati kawan rapat dan media BN yang meracun fikiran rakyat namun akan tetap meneruskan Konsep ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ di samping akan terus memperjuangkan ‘Autonomi’ yang amat penting bagi Sabah.

“Angka tetapi angka. Apapun mereka kata, BN tetap menang,” ujar seorang pemilih berdaftar yang muak dengan pelbagai teori kekalahan calon pembangkang.

Memang agak mengejutkan kerana Suruhanjaya Pilihanraya yang menjangkakan 80 peratus pemilih berdaftar yang akan turun membuang undi pada pilihanraya kecil (PRK) Batu Sapi, namun setelah selesai masa pengundian pada jam 5 petang hanya 57.35 peratus sahaja yang turun menunaikan tanggung jawab sekalipun cuaca baik.

Berdasarkan statistik yang diperolehi daripada SPR, Sabahkini.net telah membuat analisa seperti ringkasan di jadual berikut (Klik Imej Untuk Lebih Jelas);

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL BATU SAPI 4 NOVEMBER 2010

NOTA: Undi Rosak 372. Kertas Undi Tidak Dikembalikan 45. JP= Jumlah Pengundi Berdaftar. JPH= Jumlah Pengundi Hadir.

Daripada 12 Saluran Mengundi, BN hanya tewas di SJK (C) Pei Ying iaitu apabila calon PKR, Haji Ansari Abdullah memperoleh 601 undi berbanding Calon BN yang mendapat 506 undi dan Calon SAPP pula hanya memperolehi 295 undi. Pusat mengundi lain telah dimenangi BN.

Tuduhan pembangkang bahawa undi Pos dikawal selia BN ternyata meleset dan dibuat secara telus apabila Calon PKR memperoleh 133 undi berbanding 24 undi untuk Calon SAPP dan BN terus mendominasi dengan 1,268 undi.

Satu persoalan yang paling sukar untuk dijawab, ke mana menghilangnya pengundi Cina kerana jumlah mereka yang turun amat sedikit terutama di SJK (C) Pei Ying, SK Bandar Sandakan, SJK (C) Cheng Min, Perpustakaan Sandakan dan SK Karamunting?

Anehnya, PKR mengatasi SAPP di semua kawasan Majoriti Cina dan hampir semua kawasan majoriti bumiputera Islam; seolah-olah pemilih berpendapat undi untuk SAPP begitu ‘mahal’ dan ada faktor yang menghalang pemilih memberikan undi simpati kepada SAPP, sebaliknya melimpah kepada Calon BN.

No comments:

Post a Comment