Saturday 13 November 2010

AU GESA PELAJAR TINGKATKAN KECEMERLANGAN


HADIAH….AU sedang menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

PARA penuntut Tingkatan lima (5) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran supaya membuat persiapan lebih awal dan sering mengulang kaji mata-mata pepalajaran yang akan ditempuhi.

“Tidak dinafikan ada di kalangan pelajar yang bakal menduduk peperiksaan tersebut merasa cemas sedikit kerana bimbang mereka tidak boleh mencapai keputusan yang baik atau cemerlang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura, Au Kam Wah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St Cecilia, Sandakan bagi Tahun 2010 di sini kelmarin.

“Saya harap semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini akan mendapat keputusan yang cemerlang, dari itu belajarlah bersunggu-sungguh dengan penuh gigih agar segala hasrat dan cita-cita dapat dicapai dengan penuh kejayaan,” ujar Au.

Kalau pelajar mendapat keputusan yang baik, kata Au, ia bukan sekadar menaikkan martabat dan mengharumkan nama sekolah itu sendiri dan guru-guru terbabit bahkan ia juga turut menggembirakan hati para ibubapa kerana anak-anak mereka mendapat keputusan akademik yang baik.

Sehubungan itu, Au menyeru kepada para ibubapa supaya memberi perhatian dalam pembelajaran anak-anak mereka agar mencapai keputusan cemerlang kerana kerajaan BN, khususnya Kementerian Pelajaran akan memberi peluang dan biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Kata Au, mereka yang mempunyai pendidikan dan ilmu pengetahuan yang cukup sudah tentu mereka akan menjadi modal insan yang sempurna dan berguna bukan sahaja kepada bangsa, agama bahkan juga kepada tanah air.

No comments:

Post a Comment