Friday 5 November 2010

DARIPADA PEMALU KEPADA ‘GIANT KILLER’



Oleh : NUR ADIKA BUJANG

DI SEBALIK perwatakannya yang pemalu dan lemah lembut sebagai seorang surirumah dan guru muzik sambilan, Datin Linda Tsen Thau Lin ternyata memiliki kelebihan tersendiri sehingga berjaya menjadi pembunuh ‘Gergasi Politik’ menerusi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di sini.

Tsen, balu penyandang kerusi itu Datuk Edmund Chong Ket Wah, dan dipilih mewakili Barisan Nasional pada pilihan raya tersebut, sememangnya gembira dengan kemenangannya, namun mengakui pada masa yang sama, memiliki perasaan bercampur-campur.

"Saya sangat gembira. Tetapi pada masa yang sama, saya juga mempunyai perasaan bercampur-campur kerana rindukan mendiang suami," katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai anggota Parlimen Batu Sapi yang baru di Dewan Masyarakat Sandakan di sini, iaitu tempat penjumlahan undi.

Tsen memperoleh 9,773 undi dengan majoriti 6,359 menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah dan Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Chong dalam nahas jalan raya pada 9 Okt lepas.

Ibu kepada empat anak berusia 13 hingga 23 tahun itu ternyata begitu teruja untuk kembali ke pangkuan keluarganya selepas sepuluh hari berkempen.

"Perkara pertama yang akan saya lakukan ialah pulang dan bertemu anak-anak kerana saya telah berpisah dengan mereka bagi tempoh agak lama dan saya amat rindukan mereka," katanya.

Tsen juga berkata beliau akan turun padang dan meninjau setiap kawasan dalam Parlimennya bagi melihat apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat.

"Saya akan berusaha sedaya upaya saya, tetapi sebagai ahli politik dan anggota Parlimen yang baru, banyak yang perlu saya pelajari. Jadi, tolong beri saya peluang," katanya.

Sementara itu, calon PKR Ansari Abdullah yang berada di kedudukan kedua undi tertinggi berkata, beliau tidak terperanjat dengan keputusan pilihan raya tersebut.

"Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa PKR tidak akan menang. Tetapi kami juga tidak akan berada di kedudukan ketiga," katanya yang memperoleh 3,414 undi, meninggalkan Yong di tempat ketiga dengan jumlah undi 2,031.

Ansari turut mendakwa kemenangan BN didorong oleh tindakan rasuah semasa berkempen dan berkata PKR telah membuat laporan polis berhubung beberapa salah laku parti pemerintah itu.

"Namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

Yong pula berkata pilihan raya kecil itu merupakan satu latihan untuk pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"SAPP ialah sebuah parti yang lasak. Apabila kita jatuh, selalunya kita akan bangun kembali. Dan kemudian kita akan berjuang dan terus berjuang, sehingga kita menang serta memperoleh autonomi bagi Sabah," katanya.

Walaupun tewas dan berada di kedudukan terakhir pada pilihan raya itu, Yong berkata SAPP akan mengadakan majlis kesyukuran untuk menghargai kerja keras anggota parti tersebut.

Yong turut mengucapkan tahniah kepada Tsen di atas kemenangannya dan selamat berjaya kepada wanita itu untuk berkhidmat serta memenuhi keperluan penduduk di Batu Sapi. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment