Monday 15 November 2010

JAGA PERSONALITI AGAR CEMERLANG



HADIAH….Bobbey menyampaikan hadiah kepada adik Esther yang mendapat 7A dalam peperiksaan PMR 2009 berlatarkan kumpulan de citratarians SMK Nabawan pimpinan cikgu Herman (tengah).

Oleh : HASSAN DALIMPOS

PELAJAR sekolah menengah perlu menjaga personaliti sekiranya mahu menjadi insan yang berjaya cemerlang dalam pelajaran dan bagi menjamin masa depan yang cerah.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Bobbey A Suan berkata, sebagai warganegara pelajar perlu memiliki personality yang baik dalam sekolah bukan sahaja memiliki akademik yang baik malah mempunyai jatidiri yang tinggi.

Katanya, pelajar mestilah memiliki prinsip dan personaliti yang baik, kompetitif, berdaya saing yang baik bukan sahaja didalam negara ini malah di luar negara kerana persempadanan dunia yang terbuka luas atau apa yang dikatakan globalisasi mencabar untuk ditelusuri.

Beliau berkata ketika merasmikan majlis anugerah kecemerlangan SMK Nabawan yang diadakan di dewan sekolah berkenaan pada Isnin yang dihadiri 500 orang ibubapa dan murid di sini.

Kecemerlangan dalam personaliti dan akademik tidak susah dilakukan sebaliknya hanya perlu memberi tumpuan kepada apa yang dipelajari, dibuat dan dilaksanakan tentang nasihat ibubapa dan guru serta pemimpin sedia ada yang menjadi role model kepada pelajar untuk mencapai kejayaan, katanya.

Selain itu, jangan mewujudkan perkumpulan yang tidak baik, suka melakukan pergaduhan, gangsterisme, ponteng sekolah dan melakukan perkara-perkara yang mengganggu keharmonian pelajar, guru dan ibubapa kerana ia hanyalah menggelapkan masa depan generasi itu.

Tambahnya, pelajar seharusnya lebih komited kepada pelajaran dengan belajar secara konsisten dengan menumpukan perhatian sepenuhnya ketika sesi pembelajaran dalam kelas, katanya.

Dalam pada itu ibubapa perlu menjalinkan hubungan komunikasi yang berkesan, mesra dalam memastikan anak-anak merasa aman dipangkuan ibubapa baik ketika di rumah ataupun di sekolah.

Beliau yang juga Adun Nabawan turut mengingatkan pelajar dan ibubapa agar masing-masing menjaga keharmonian hidup dengan menjauhkan diri daripada gejala sosial yang tidak mendatangkan apa-apa faedah sepertimana tragedi baru-baru ini melibatkan mangsa pelajar perempuan tingkatan empat di salah sebuah sekolah dipaksa minum minuman keras dan dirogol oleh lima orang lelaki.

Majlis itu turut menyediakan hadiah kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan semesta, PMR dan SPM, ibubapa contoh dan guru cemerlang 2010. Anugerah pelajar cemerlang PMR 2009 dengan mendapat 7A disandang adik Esther Matias, SPM 2009 dengan mendapat 4A adik Hilda Pilim, anugerah bapa contoh Pilim Libut, ibu contoh Pn.Suzieyana Sipin selain guru cemerlang 2010 lelaki disandang cikgu Frederick Anthony Pidor dan guru cemerlang perempuan Siti Shahira Bt.Musa.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Jubelin Kilan, pengetua SMK Nabawan Ajmain Idris, Penolong kanan Jack jatil Jungok, guru-guru, ibubapa dan pelajar yang turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh kumpulan de citratarians SMK Nabawan.

Majlis itu berupaya memberi semangat persaingan sihat dikalangan pelajar untuk mencapai prestasi terbaik dari segi pencapaian akademik, aktiviti ko-kurikulum dan kepimpinan sekolah disamping menghargai kejayaan dan pencapaian cemerlang pelajar sebagai motivasi ekstrinsik kepada penerima anugerah.

No comments:

Post a Comment