Thursday 18 November 2010

JULAT ELAUN PENGERUSI JKKK TIDAK ADIL?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENGERUSI JKKK Kg. Linsudan, Keningau, Saidi Ekang menyuarakan kekecewaannya di atas penjelasan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengenai pertambahan elaun bulanan Pengerusi JKKK sebanyak RM 800 dalam bajet tahun depan, hanyalah untuk Pengerusi JKKK di peringkat persekutuan.

Pertambahan elaun yang tidak melibatkan para pemimpin masyarakat di peringkat Negeri itu dinyatakan dalam ucapan pengulungan Pairin di Perhimpunan Agung PBS pada hhamis lalu, yang di siarkan dalam akhbar tempatan bertarikh 12 November 2010.

Saidi mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan kenaikan elaun hampir seratus peratus kepada para pemimpin masyarakat di peringkat persekutuan dan menafikan keistimewaan yang sama bagi para pemimpin masyarakat di peringkat Negeri Sabah.

“Elaun berkenaan yang diumumkan dalam bajet itu sepatutnya dinikmati oleh semua pemimpin masyarakat di seluruh Malaysia dan bukan kawasan terpilih. Perkara ini pasti menjadi isu dan akan mengundang persepsi yang negatif kepada lebih tiga ribu Pengerusi JKKK di seluruh Sabah,” kata Saidi lagi.

“Apakah peranan Pengerusi JKKK lebih besar di peringkat persekutuan yang dilihat sebagai kawasan yang sudah maju berbanding peranan Pengerusi JKKK di kawasan luar bandar Sabah, yang hanya dibayar elaun RM200 sebulan. Kenapa tidak di selaraskan?” soalnya.

Saidi hairan kenapa terdapat perbezaan ketara antara Pengerusi JKKK di peringkat persekutuan dan negeri sedangkan mereka mempunyai jumlah undi yang sama iaitu 1 undi dan merupakan pembayar cukai yang sama kepada kerajaan.

Beliau yang juga seorang lepasan siswazah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan berkata, umum maklum bahawa keadaan hidup masyarakat di kawasan luar bandar masih ketinggalan jauh dalam arus pembangunan sosio ekonomi, maka peranan inilah tugas yang terpaksa digalas oleh para pemimpin masyarakat di Sabah.

“Bukan saja memikirkan soal kemajuan kawasan masing-masing, tetapi Pengerusi-Pengerusi berkenaan akan diberi tanggung jawab lebih besar iaitu memujuk anak-anak buahnya supaya sentiasa menyokong kerajaan pada setiap kali pilihanraya diadakan,” tambahnya.

Beliau bersama semua Pengerusi-pengerusi JKKK di kawasan Pedalaman Keningau merayu kepada pimpinan kerajaan Negeri Sabah khususnya Ahli Parlimen Keningau supaya mengusulkan isu ini di dalam persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga Disember ini.

“Gagasan 1Malaysia yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak haruslah direalisasikan melalui penyelarasan pembayaran elaun para pemimpin masyarakat di seluruh Negara,” tambahnya.

Katanya, bermula Januari tahun hadapan, jurang perbezaan bayaran elaun bagi Pengerusi JKKK Persekutuan dan Pengerusi JKKK Negeri bagaikan langit dengan bumi kerana julat RM600 terlalu besar dan berlaku ketidak adilan.

No comments:

Post a Comment