Monday 1 November 2010

KAMI TETAP KUBU KUAT BN, BUKAN PKR!



Oleh : HASSAN DALIMPOS

PENDUDUK Kg.Mamaitom melahirkan kekesalan di atas kenyataan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom, Halik Zaman, yang dikeluarkan dalam sebuah media baru-baru ini menyatakan penduduk Kg.Mamaitom telah beralih sokongan kepada PKR yang diketuainya.

Sebaliknya masyarakat Kg.Mamaitom masih tetap utuh sokongannya kepada kerajaan Barisan Nasional malah semakin padu dan kuat.

Mengulas kenyataan Ketua Cabang PKR Tenom itu dalam Sabahkini.Net yang bertajuk ‘PKR Tawan Kampung Raime Unggi’, Antui @ Siang Ambau, 52, mengatakan bahawa kenyataan Halik adalah gimik politik murahan oleh Ketua Cabang PKR Tenom itu yang terdesak dan cuba mahu menunjukan kepada umum bahawa PKR mendapat sokongan di Tenom sebaliknya ‘indah khabar dari rupa’.

Selaku Pengerusi JKKK Kg.Mamaitom, Antui mengatakan bahawa masyarakat Kg.Mamaitom pada ketika ini menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan terutamanya dalam aspek kemudahan infrastruktur dan kampung ini juga telah mendapat Rumah Kebudayaan yang baru serta sebuah bangunan Pra Sekolah. Oleh itu kenyataan bahawa PKR menawan kampong Mamaitom amat tidak berasas sama sekali.

Sejak kebelakangan ini, kata Antui, pelbagai program kerajaan telah dijalankan di kampung ini. Malah kampung ini sedang mengorak langkah mewujudkan industri ‘Homestay’ yang pastinya memberi impak terhadap kemajuan kampung ini, katanya.

Menurut Antui lagi, Kg.Mamaitom seringkali dilawati oleh pelancong sama ada pelancong domestik mahu pun luar negara untuk melihat dengan lebih dekat lagi sosiobudaya tempatan masyarakat Murut. Malah ramai pelajar-pelajar daripada IPTA seperti UMS telah datang ke kampung ini untuk menjalankan tesis mereka dan baru-baru ini kampung ini dipilih oleh UMS bagi menjalankan Program Jalinan Mesra Interim Sek.1.

Sementara seorang penduduk yang hadiri perjumpaan tersebut, Jack Ukir, 35, mengatakan bahawa dia dan isterinya dijemput hadir di kediaman Korom tetapi tidak dimaklumkan tujuan sebenar pelawaan tersebut.

“Saya dan isteri terkejut tiba-tiba Halik Zaman pula yang hadir dalam perjumpaan tersebut. Kami yang berada dalam perjumpaan itu merasa tertipu. Tapi oleh kerana sudah terlanjur datang kami sekadar mendengar apa yang diperkatakan oleh Halik dan diajak bergambar sambil memegang borang kosong,” katanya.

Tambah Jack lagi, bilangan yang hadir dalam perjumpaan tersebut daripada Kg.Mamaitom hanya sebilangan kecil sahaja yang selebihnya daripada orang luar daripada kampung itu yang turut hadir mengikuti rombongan Halik.

Jack sedar Halik telah mempergunakan perjumpaan tersebut untuk mencari publisiti murahan untuk cuba menjatuhkan reputasi Datuk Raime Unggi selaku wakil rakyat dan anak kampung ini.

“Tapi kami penduduk kampung ini tahu menilai antara kaca dan permata dan sokongan kami kepada BN tetap padu khususnya kepada wakil rakyat Datuk Raime Unggi dan Datuk Rubin Balang,” jelas beliau.

Ketua Anak Negeri dan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kg.Mamaitom, KAN Angkangon Sagul, 62, berkata, dakwaan Halik Zaman bahawa PKR telah menawan Kampung ini adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan satu pembohongan.

“Masyarakat kampung ini adalah diasaskan melalui jalinan persaudaran dan kerjasama yang padu dan kami telah menikmati perubahan dan kemajuan yang ketara dibawah kerajaan BN,” tegasnya.

“Sebagai ‘orang tua’ dan telah banyak pengalamn dalam politik, Halik Zaman sedar bahawa masyarakat kampung ini tidak mungkin akan berpaling daripada BN apatah lagi menjatuhkan Raime Unggi, tapi Halik mempergunakan perjumpaan kecil itu untuk membuat propaganda kerana kerana saya tau dia (Halik) memang pakar putarbelit. kenyataan Halik umpama menjolok sarang tebuan,” katanya.

Menurut Angkangon, kehadiran Halik Zaman di Kg.Mamaitom adalah atas perbuatan segelintir ‘budak nakal’ di kampung ini dan menggesa kepada masyarakat kampung ini agar berwaspada agar tidak terperangkap dengan dakyah pembangkang yang sengaja cuba mencemarkan nama baik kampung Mamaitom.

No comments:

Post a Comment