Monday 15 November 2010

KEMENANGAN LINDA, RAHMAT KEPADA RAKYAT



Oleh: SHAIMON S JUMADI

KETUA Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) kawasan Kuamut merangkap Pegawai Perhubungan kepada ADUN Kuamut, Awang Gariman menyifatkan kemenangan calon BN (PBS), Datin Linda Tsen Thau Lin yang mendapat kelebihan undi besar di luar jangkaan ia merupakan satu rahmat kepada para pengundi kawasan Batu Sapi yang merangkumi kawasan Karamunting dan Sekong.

Katanya daya pemikiran rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan sudah matang dan terbuka luas dalam mengenal erti kemajuan dan pembangunan asas yang telah sedia ada dan bakal disalurkan kepada rakyat pada masa-masa tertentu.

Awang menjelaskan kepada Ketua Biro Sabahkini.Net Wilayah Sandakan dalam satu wawancara khas di pejabatnya di sini ketika diminta mengulas bagi kemenangan tersebut.

Awang juga merupakan salah seorang Pegawai yang ditugaskan di Markas Jentera Gerakan Pilihanraya Kecil Batu Sapi itu yang di tempatkan di Kampung Segaliud bersama-sama Naib Presiden PBS Datuk Dr Othman Minuddin, Datuk Jublee Zen dan rakan-rakan lain seperjuangannya.

“Saya juga begitu terharu terhadap komiten rakan-rakan lain khususnya daripada parti-parti komponen BN yang membabitkan UMNO, LDP, MCA, MIC, PBRS, UPKO dan PBS sendiri telah bekerja keras bertungkus-lumus membantu kempen khususnya bagi mempastikan kemenangan cemerlang calon BN untuk menumpaskan calon pembangkang iaitu SAPP dan PKR,” ujarnya

Ketua Menteri Sabah yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Datuk Seri Musa Hj Aman yang mengepalai jentera gerakan pilihanraya jelas Awang lagi, telah mendapat respon dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada semua pemimpin dan penyokong BN di seluruh pelusuk negeri Sabah; termasuk para pemimpin dari Semenanjung yang datang untuk sama-sama berkempen untuk mempertahankan kubu kuat BN di Batu Sapi.

Awang berkata lagi, parti pembangkang seperti PKR yang membuat propaganda songsang memaki hamun para pemimpin BN langsung tidak mendapat respon, malahan rakyat semakin benci dengan propaganda yang dianggap terlalu menyakitan hati.

“Begitu juga dengan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee yang meniupkan sentimen ‘Sabah for Sabahans’, isu yang sudah lapuk kerana kini rakyat mahukan kemajuan dan pembangunan yang lebih pesat daripada mendengar janji yang jauh daripada realiti dan omong kosong sahaja,” tegas Awang.

Apapun, kata Awang, sebagai rakan dalam PBS khususnya BN rakyat Batu Sapi menaruh harapan yang tinggi agar Datin Linda mengotakan janji yang dibuat pada pilihanraya kecil berkenaan kerana mereka hauskan pembangunan.

No comments:

Post a Comment