Monday 15 November 2010

KERAJAAN CUCI TANGAN KEMISKINAN SABAH



PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, Kerajaan Negeri Sabah cuba melepaskan tangan mengenai keadaan sebenar kemiskinan di Sabah.

Katanya, Kerajaan BN didapati cuba mencuci tangan terhadap perkara serius itu apabila seorang pegawai kerajaan Negeri ditugaskan untuk membuat kenyataan akhbar bahawa Sabah bukan negeri termiskin di Malaysia.

“Kenyataan akhbar pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ismail Abdullah yang disiarkan akhbar tempatan pada Isnin jelas menunjukkan Kerajaan cuba melepaskan tangan daripada kemelut kemiskinan yang sudah lama membelenggu Sabah.

“Semua pihak termasuk rakyat jelata sudah tahu bahawa Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia. Jumlah rakyat miskin di Sabah adalah 24.2 peratus pada tahun 2004.

“Tindakan Kerajaan Sabah menugaskan seorang pegawai menghebahkan keadaan kemiskinan di negeri ini adalah satu tindakan yang dilihat seolah-olah Kerajaan BN cuba melarikan diri dari tanggung jawab utama beliau sebagai pemimpin negeri ini,” kata Yong dalam satu sidang akhbar di Ibupejabat SAPP di Luyang, di sini, pada Isnin.

Yong berkata, pemantauan Bank Dunia terhadap kemiskinan bukan saja mengenai pendapatan sesebuah isi rumah, tetapi meliputi kemajuan pendidikan, kemudahan bekalan air bersih, bekalan letrik, jalan raya, nisbah doktor dengan setiap penduduk dan banyak lagi.

Unit Perancang Ekonomi Negeri di Jabatan Ketua Menteri dalam satu kenyataan akhbar telah menolak dakwaan bahawa Sabah adalah negeri termiskin di negara ini.

Pengarahnya, Datuk Ismail Abdullah berkata, Kerajaan Sabah berjaya mengurangkan kemiskinan isi rumah di negeri ini daripada 24.2 peratus pada 2004 kepada 18.4 peratus pada 2007.

Ismail berkata, fakta itu dinyatakan dalam statistik rasmi berdasarkan kepada Tinjauan Pendapatan Seisi Rumah (HIS) yang dijalankan oleh Jabatan Statistik.

Katanya, purata pendapatan kasar bulanan rakyat Sabah meningkat daripada RM2, 593 pada 2004 kepada RM3,102 pada 2009.

Beliau berkata Sabah juga mencatat kadar pertumbuhan 5.3 peratus setiap tahun untuk tempoh 2004 hingga 2009 yang mana lebih baik daripada kebanyakan negeri di Malaysia.

No comments:

Post a Comment