Tuesday 16 November 2010

LORONG JALAN KAKI Vs LORONG PENUMPANG?



RAGU….Rudy menunjukkan projek yang dilaksanakan kerana amat meragukannya.

Oleh: MAIL MATHEW

PEGAWAI Eksekutif Majlis Daerah Tenom, Wolfred Gentiu menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang atau merasa curiga kerana setiap kerja yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) pasti mengambilkira kesesuaiannya terlebih dahulu termasuk jumlah kos yang terlibat sebelum sesuatu kerja itu dilaksanakan.

Tegasnya, PBT amat komited untuk memenuhi kehendak orang awam lebih-lebih lagi jika ia di kawasan perkadaran dengan mengambilkira semua aspek keperluan terutamanya keselamatan awam khususnya yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini pada Selasa ketika mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Melalap, Rudy Sulaiman Mairi berhubung pelaksanaan projek kawasan pekan di bawah kawalselia PBT yang dilihat seolah olah tidak konsisten dan tidak menepati sasaran tepat.

Jelas Wolfred lagi, berhubung kerja-kerja yang sedang berlaku di lokasi lorong kakilima (walkway) di depan SM Chung Hwa kira-kira 500 meter dari pekan, sebenarnya kerja- kerja tersebut untuk membina lorong menurunkan penumpang atas permintaan pengurusan sekolah berkenaan.

“Kita tidak sembarangan buat kerja itu jika tidak atas permintaan pihak sekolah terbabit demi keselamatan pelajar, maka pihak PBT tidak ada halangan untuk melaksanakan-nya,” tegas Wolfred.

Kenyataan Wolfred sebagai menjawab dan menjelaskan kenyataan Rudy Sulaiman Mairi yang mencetuskan beberapa persoalan bahawa projek yang sedang berjalan di depan pintu SM Chung Hwa amat mencurigakan banyak pihak kerana mereka tidak tahu tajuk kerja-kerja yang dilaksanakan itu.

Malah Rudy berkata, agak mustahil lorong kakilima itu dibuat semula sedangkan kerja kerja menaiktaraf jalan itu baru juga siap tahun ini (2010). Itu pun katanya, lorong kakilima seakan-akan tidak menepati piawaian kerja yang sepatutnya.

Rudy bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk menghalang atau bersikap menentang kepada sesuatu pembangunan yang dilaksanakan PBT sebaliknya beliau amat menyokongnya namun sasaran harus tepat manakala kualiti atau kos hendaklah bersesuaian agar ia tidak kelihatan ia terdapat unsur-unsur pembaziran wang awam.

No comments:

Post a Comment