Thursday 25 November 2010

MANA JAMBATAN KAMI?



HANYUT….Jambatan yang dihanyutkan banjir kilat awal tahun 2010.

Oleh: MAIL MATHEW

PENDUDUK Kg Ulu Entabuan merayu agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih sebuah jambatan yang telah dihanyutkan ketika banjir kilat yang berlaku pada awal tahun 2010, namun belum berganti sehingga kini.

Ketiadaan jambatan tersebut menyulitkan kenderaan yang bukan jenis pacuan empat roda melalui jalanraya tersebut apabila jalan alternatif terpaksa dibina sebagai langkah sementara selepas kejadian itu.

Jalanraya yang menuju ke perkampungan Ulu Entabuan memaksa penduduk berjalan kaki sejauh kira-kira 5 kilometer ke simpang jalanraya utama setiap kali ke pusat bandar untuk membelibelah, mahupun membawa keluar hasil pertanian seperti getah, kopi dan padi untuk dipasarkan.

Turut menyedihkan lagi, warga pendidik yang menggunakan jalanraya tersebut setiap hari untuk bertugas di SK Ulu Entaban terpaksa meninggalkan kenderaan mereka (bukan jenis pacuan empat roda) di tempat itu untuk menyambung perjalanan dengan berjalan kaki sejauh kira-kira 2 kilometer lagi.

Demikian ditegas oleh seorang penduduk di situ yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) yang enggan identitinya didedahkan ketika memberitahu Sabahkini.net petang kelmarin.

Bagaimana pun, ketika Sabahkini.net menghubungi Pemaju Mukim kawasan terbabit, Simon Mamat untuk mendapatkan ulasan beliau berhubung tindakan yang telah dilakukan pihak kerajaan setakat ini khususnya wakil rakyat beliau berkata;

“Adun Melalap telah pun melawat lokasi kejadian sebaik sahaja beliau dimaklumkan dan difahamkan Ketua Menteri telahpun meluluskan peruntukkan untuk tujuan itu, malangnya agensi pelaksana yang lambat memproses kelulusan,” jelas Simon.

Menurut Mamat, beliau juga sering didesak oleh penduduk di situ yang mahukan tindakan segera dapat dilakukan kerana mereka (penduduk) kini terasa terbeban sangat dengan ketiadaan jambatan penghubung itu lalu meminta agar masalah itu tidak berterusan sehingga mencecah tahun depan (2011).

Namun katanya, beberapa tindakan susulan telahpun dilakukan kepada pihak berkenaan dan pasti akan diluluskan dalam masa terdekat dan memulakan tindakan pelaksanaannya sebaik sahaja kelulusan diperolehi secara mutlak.

No comments:

Post a Comment