Sunday 14 November 2010

MASALAH DALAMAN, DISIPLIN GOYAHKAN PKR?



Oleh: PENULIS KHAS

KETIKA pelbagai terjemahan songsang terhadap akronim PKR - parti kian runtuh, kian rapuh, kian rosak atau kian reput - seakan makin dilupakan, kecamuk parti itu seolah-olah tidak boleh dihentikan. Kali ini dakwaan proses pemilihan kepemimpinannya pula berdepan kepincangan dan kecacatan.

Itu jugalah alasan calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim meletak semua jawatannya dalam parti dan menarik diri daripada bertanding. Ia disusuli desakan supaya proses pemilihan ditangguhkan sehingga semua isu yang timbul diatasi dan dijadikan agenda penting.

Lebih pedas gesaan supaya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur tanpa berlengah lagi. Desakan sama juga dibuat terhadap Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden sedia ada yang juga pesaing Zaid bagi jawatan kedua tertinggi dalam parti.

Hakikat bahawa seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub turut bersuara kecewa terhadap proses pemilihan juga mengejutkan. Apa tidaknya, beliau dikenali sebagai pengikut setia Anwar yang sudah sekian lama berjuang dalam PKR, kritikannya terhadap kepemimpinan parti tidak pernah kedengaran.

Memang tidak boleh dinafikan sistem pemilihan PKR di mana setiap ahli mengundi memilih pemimpin adalah kaedah yang bagus dan layak mendapat pujian, namun ia masih lemah dari segi pengurusan. Garis panduan dan peraturan berhubung sistem itu juga dilihat tidak ketat, maka banyaklah kelemahan dikesan hingga mengundang kritikan hebat.

Tidak boleh ditolak terus dakwaan bahawa proses itu diselubungi penyelewengan, begitu juga dakwaan ada unsur penyalahgunaan kuasa dan penipuan. Tambahan pula, pihak yang membuat dakwaan berkeras mereka ada bukti - sama ada betul atau tidak bukan persoalan. Apa yang penting ialah pimpinan parti harus segera mengambil tindakan.

Sebagai parti yang menonjolkan demokratik menjadi teras perjuangan, PKR harus mengambil serius isu dibangkitkan, bukan sekadar meminta pihak yang mengadu menunjukkan bukti berkaitan.

Sebagai parti yang mendakwa progresif, pimpinan PKR harus proaktif, bukan sekadar menunggu bukti dihulurkan kerana ia bakal menunjukkan mereka bersikap selektif.

Sebab lain menyumbang kepada kemelut dalaman PKR ialah kerana politik Malaysia masih bersifat politik peribadi. Ia bukan saja berlaku dalam PKR, malah rata-rata parti siasah lain juga terlalu bergantung kepada kepala atau ketua.

Sifat politik seperti inilah yang mewujudkan kemelut dalaman di mana orang presiden, ketua atau kepala itu mempunyai banyak kelebihan. Jika bertanding merebut jawatan, secara nalurinya perwakilan atau ahli sudah tahu memang dialah yang harus dimenangkan.

Dalam konteks PKR, Mohamed Azmin dilabel orang kuat atau orang kanan Anwar hingga pemimpin lain sama parti yang rapat dengan ketua pembangkang itu pun ada masalah dengannya. Beliau dilihat terlalu berkuasa, lalu timbullah rasa tidak puas hati kelompok tertentu dalam parti hingga ada yang merajuk dan kecewa.

Satu lagi punca kemelut ialah kerana aspek disiplin yang dilihat tidak begitu diberi tumpuan. PKR ada presiden, tetapi Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat tidak tegas memainkan peranan. Bukan lagi rahsia bahawa kedudukannya dalam parti sekadar ceremonious, seolah-olah memandang jawatannya sebagai tidak serius.

Jadi, bila organisasi tidak ada ketua yang boleh selesaikan masalah atau sekurang-kurangnya dilihat tidak tegas dalam menentukan apa juga keputusan atau tindakan, maka masalah dalaman akan terus berlarutan. Itulah yang berlaku dalam kes Zaid yang punca asalnya juga adalah kerana pimpinan PKR sendiri yang kegopohan.

Bekas pemimpin UMNO dan menteri Kabinet itu terlalu cepat dilonjakkan dalam hierarki parti hingga beberapa jawatan penting begitu mudah dimiliki, turut menyumbang kepada kekalutan yang membelenggu PKR kini.

Imej kebangsaan padanya memberikan Zaid kuasa tawar menawar untuk menjadi orang penting dalam PKR. Sokongan ahli, terutama bukan Melayu kepadanya kian mengukuh kerana pendirian peguam berjaya itu yang dilihat liberal dan non communal.

Segala kemelut dalam parti itu mengundang persoalan baru - mampukah PKR bertahan dan terus relevan supaya kedudukannya dalam pakatan pembangkang kekal sebagai peneraju. PKR dilihat boleh terus bernafas dan kekal dominan dalam gabungan pembangkang berbanding DAP atau PAS.

Syaratnya parti itu harus melihat kembali raison detre atau tujuan penubuhannya dan paling penting, pandangan dan kritikan ahli akar umbi tidak dipandang mudah. Kedua, Anwar harus lebih direct peranannya dalam parti, tidak boleh lagi tiada jawatan rasmi, tetapi menjadi individu paling tinggi di tangga hierarki.

Bagaimana mahu melaungkan `kami adalah parti demokratik, sedangkan ketua pun tidak dipilih melalui proses demokrasi. Jika Anwar enggan memegang jawatan rasmi, maka wajarlah beliau menjarakkan dirinya daripada pengurusan parti.

Perlu diingat, survival politik beliau hanya kerana pakatan pembangkang banyak bergantung kepada PKR. DAP dan PAS sukar berhubung secara langsung tanpa ada Anwar. PKR adalah jambatan kepada jalinan gabungan pembangkang. Jika ia lemah, jambatan itu boleh retak atau terputus terus, lalu meninggalkan pakatan itu tunggang langgang.

Justeru, Anwar wajar membuat keputusan sama ada mahu membabitkan diri secara terus dalam pengurusan parti atau tidak. Jika ya, beliau harus mempunyai jawatan rasmi, barulah PKR dihormati. Ahli parti tentunya tidak mahu presiden sekadar mengisi jawatan, tetapi tidak boleh membuat keputusan.

Bagi saya, PKR boleh terus kekal dan relevan kerana ia turut didukung oleh aktivis masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO). Ideologinya juga ada dan dalam masa terdekat, akan melalui pemutihan yakni melalui proses pemilihan kepemimpinan.

Mungkin dalam proses pemilihan itu atau selepasnya, akan ada lagi pemimpin atau ahli yang keluar parti kerana tidak berpuas hati, sekali gus bakal menjadikan pengaruh PKR kian sepi, namun itulah realiti yang harus dihadapi.

Jika mahu terus relevan, PKR dan pemimpinnya harus berdepan hakikat dan mencontohi rakan pembangkang seperti DAP yang bukan pun sebuah parti besar atau hebat, tetapi ideologinya yang konsisten mampu menjadikan sokongan khalayak kepadanya meningkat walaupun pada suatu ketika ia dalam keadaan tenat.

Masalah dalaman perlu segera diselesaikan, manakala disiplin dalam kalangan pemimpin dan ahli harus diterap dan diperkukuhkan. Jika tidak, jangan menuding jari menyalahkan pihak lain apabila sokongan rakyat semakin dingin. Ketika itu, berdiri dan duduknya PKR tidak akan lagi sama tinggi dan sama rendah dengan rakan pembangkang lain.

Jika itu berlaku, peranan PKR dalam pakatan pembangkang tentu bukan lagi dominan. Apa pun, terserahlah kepada Anwar dan orang kanan kepercayaannya sama ada mahu akronim PKR terus ditafsir secara negatif atau diubah menjadi Parti Kekal Relevan.

(Penulis ialah Penolong Profesor dan Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

No comments:

Post a Comment