Thursday 18 November 2010

MKN BANTU MANGSA BANJIR KOTA BELUD



ALBUM KENANGAN……Abdul Rahman dan V.K Liew mengabdikan album kenangan dengan sebahagian penerima bantuan pada majlis itu.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

SERAMAI 89 orang yang terlibat dalam bencana banjir di daerah ini tahun ini telah menerima bantuan daripada Majlis Keselamatan Negara yang telah disampaikan di Dewan Tun Said, Kota Belud baru-baru ini.

Penyampaian bantuan itu telah diageh-agehkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K Liew dan disaksikan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan.

Abdul Rahman ketika berucap pada majlis itu memberitahu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman telah datang ke Kota Belud ketika musim banjir tahun ini dan telahpun menyampaikan sebahagian daripada wang ehsan yang telah diperuntukkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat di daerah ini tahun ini.

Menurutnya , hari ini sebahagian daripada wang ehsan itu akan disalurkan lagi kepada mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan di pusat-pusat penempatan banjir yang telah disediakan pada musim banjir yang lalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K Liew yang telah bersusah payah mengurus pemberian wang ehsan ini kepada rakyat di daerah Kota Belud yang terjejas menjadi mangsa banjir tempoh hari,” katanya lagi.

Jelas Abdul Rahman, Majlis Keselamatan Negara adalah satu agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa yang mendapat malapetaka daripada bencana alam termasuklah juga seperti mana yang berlaku kepada rakyat di daerah ini ketika musim banjir yang lalu.

Katanya, agensi ini bertanggungjawab untuk membantu rakyat di seluruh negara dan yang terbaru agensi juga turut menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah, Kelantan dan sebagainya.

“Sebab itulah saya minta mangsa-mangsa banjir di daerah ini bersabar, ini kerana mengurus pembayaran wang ehsan ini memakan masa sedikit, kita tidak mahu orang yang bukan mangsa mendapat bantuan dan ini memerlukan proses pengesahan. Wang ehsan ini hanya diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan ke pusat-pusat penempatan banjir sementara,” katanya lagi.

Sementara itu, Menurut Abdul Rahman lagi yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah pembayaran pampasan untuk kumpulan pertama yang terbabit dengan kerosakan tanaman dan ternakan seramai 400 orang sedang dalam proses.

Katanya, peruntukan pembayaran pampasan itu telah tersedia dan ia akan diageh-agehkan dalam masa yang terdekat ini yang akan disampaikan sendiri oleh Datuk V.K Liew.

“Pembayaran pampasan atas kerosakan tanaman, ternakan akibat banjir hanya akan diberikan kepada mereka yang terlibat, manakala penduduk yang dipindahkan ke pusat penempatan banjir tetapi tidak mempunyai sebarang tanaman dan ternakan yang musnah akibat bencana itu tidak akan mendapat pembayaran pampasan tersebut. “ terangnya lagi.

No comments:

Post a Comment