Wednesday 24 November 2010

MPS TERUS DIKUTUK PENDUDUK



BERBAHAYA….Besi penghadang pintu masuk ini mengundang bahaya kepada orang ramai kerana tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

KURANGNYA perhatian pihak berkuasa tempatan, khususnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dalam menjaga keselamatan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, Sandakan berhubung besi penghadang di pintu masuk taman perumahan tersebut kini mendapat rungutan penduduk setempat.

Dalam tinjauan Ketua Biro Sabahkini Net Wilayah Sandakan ke kawasan perumahan tersebut mendapati, sebatang besi penghadang pintu masuk ke kawasan perumahan yang dimaksudkan kerana sudah condong dan tidak selamat digunakan.

Beberapa orang penduduk yang ditemui menjelaskan mereka sangat kesal terhadap sikap MPS kerana walaupun sudah lama mengetahui besi penghadang itu sudah condong dan bila-bila sahaja akan tumbang, namun masih dibiarkan begitu saja sehinga sekarang.

“Kalau besi itu rebah ke bawah dan menghempap kepala orang atau kenderaan, bukankah mendatangkan kecelakaan kepada mereka? Barang kali MPS tunggu ada orang yang terhempap oleh besi penghadang itu baru mahu mengambil tindakan,” kata mereka lagi.

Menurut seorang penduduk, jika mereka terlewat membayar sewa rumah, para penghuni akan dihalau seperti anjing buruk kepala dan semua barang mereka akan disita.

“Tetapi kebajikan dan keselamatan kami langsung tidak dihiraukan. Kalaulah sikap para kakitangan dan pegawai MPS berterusan seperti ini, rakyat akan melempiaskan kemarahan kepada kerajaan Barisan Nasional pada pilihanraya akan datang,” ujar seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mike.

Mike yang mewakili penduduk Taman Mesra mengucapkan terima kasih kepada Sabahkini. Net kerana menyiarkan fenomena yang melanda Taman Mesra berbanding media lain yang langsung tidak mengendahkan perkara tersebut walaupun sudah dimaklumkan.

“Kita minta tolong ambil gambar dan masukkan dalam akhbar pun mereka enggan berbuat demikian kerana takut dibelasah oleh pihak MPS tetapi keberanian wartawan Sabahkini.net yang berani menegur semua pihak yang mengabaikan rakyat amat disanjung tinggi,” kata Mike lagi.

No comments:

Post a Comment