Monday 1 November 2010

MURUT LUNDAYEH KAYA ADAT RESAM



Oleh : HASSAN DALIMPOS

PERPADUAN....Pairin disambut oleh penari suku Lundayeh ketika tiba di perkarangan Dewan Ontoros, sementara diiringi Radin (kiri) dan Sabini.

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tidak menafikan masih banyak lagi adat resam dan seni budaya kaum dan etnik di negeri ini belum diketengahkan kepada umum.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditanya media selepas merasmikan Pesta Budaya Murut Lundayeh Anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kemabong di Dewan Datuk Sri Ontoros Kemabong Tenom yang dihadiri 3000 orang masyarakat sekitar daerah itu.

Berikutan terdapat kelainan persembahan dan pakaian yang ditonjolkan menerusi persembahan kepelbagaian suku dan sub-etnik Murut/Lundayeh sekali gus jelas menunjukkan ia mempunyai elemen-elemen suku sub-etnik berkenaan masih belum dipertontonkan kepada umum sebelum ini katanya.

Justeru itu, beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menyeru kepada para budayawan di negeri ini agar bertindak secara proaktif menampilkan serta memperkenalkan kepelbagaian seni budaya yang terdapat di negeri ini secara menyeluruh.

Katanya, dengan adanya usaha ke arah itu, beliau berkeyakinan ia dapat memperkayakan lagi khazanah budaya negara di samping menjadi landasan terhadap kekuatan semangat perpaduan sedia ada dalam kalangan rakyat Sabah dan dicontohi di negara ini, selaras dengan gagasan 1-Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tan Sri Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata usaha memperkasakan seni budaya itu juga mampu menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara untuk terus mengunjungi kawasan Pedalaman seterusnya menjadi sebahagian daripada sumber ekonomi baru khususnya luar bandar.

Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau menasihatkan kepada generasi muda agar tidak mengabaikan soal aspek masa depan pembangunan seni budaya kaum dan etnik masing-masing ketika dunia berhadapan dengan ledakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi sebaliknya memerlukan keseimbangan demi kelesterian pembangunan seni budaya warisan bangsa.

Mengenai cadangan mengadakan penganjuran sambutan Pesta Murut-Lundayeh secara tahunan, Pairin berkata pihak penganjur kini masih dalam peringkat perancangan.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, merangkap Adun Melalap Datuk Radin Mallih, Ketua bahagian PBS Kemabong Sabini Ansumor, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kemabong dan wakil Adun Kemabong Sukimin Rukini dan PKR Melalap Balasius Masuning dan pengerusi pelaksana, Florentius Alex.

No comments:

Post a Comment