Friday 12 November 2010

NAJIB HULUR RP1 BILION UNTUK MANGSA MERAPI



Oleh : AHMAD FUAD YAHYA

PENDERITAAN mangsa bencana Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah mendapat simpati Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menghulurkan bantuan bernilai Rp1 bilion.

Bantuan berkenaan diserahkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Sri Sultan Hamengku Buwono X, Sultan Yogyakarta, yang juga gabenor provinsi itu di sini Khamis.

Pada majlis penyampaian itu Dr Ahmad Zahid selaku perutusan Perdana Menteri telah menyampaikan rasa prihatin Najib terhadap kesulitan yang menimpa penduduk kawasan terbabit berikutan letusan Merapi yang telah mengorbankan sejumlah 194 penduduk dan memusnahkan beberapa perkampungan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan Pengarah Education Malaysia, dulunya Jabatan Penuntut Malaysia.

Sehingga kini 500,000 orang penduduk di sekitar radius 20km dari puncak Merapi telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan bagi menyelamatkan mereka daripada kesan awan panas abu volkanik setiap kali gunung itu meletus.

"Ini adalah bantuan permulaan, jika ada keperluan-keperluan lain, kita akan mengirimkan lagi bantuan ke sini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan itu.

Dr Ahmad Zahid turut mengunjungi pusat operasi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) di sini dan diberikan taklimat oleh Ketuanya Dr Syamsul Maarif mengenai operasi bagi menghadapi bencana itu.

Sekumpulan 38 pelajar kedoktoran dari Malaysia yang menuntut di Universiti Gadjah Mada (UGM) di sini turut membantu Hospital Sardjito merawat mangsa-mangsa bencana Merapi.

Seramai 14 lagi pelajar Malaysia memberi khidmat di Hospital Cilacap dan Hospital Banyumas, di Jawa Tengah.

Menteri itu turut meminta pelajar-pelajar kedoktoran dari Malaysia yang pulang ke tanah air supaya turut sama menjadi sukarelawan di hospital berkenaan apabila kembali ke universiti masing-masing pertengahan bulan ini.

Mereka harus menyusun jadual belajar dengan sebaiknya agar dapat memberi khidmat sukarela di hospital berkenaan pada hari mereka tidak mempunyai kuliah.

No comments:

Post a Comment