Saturday 6 November 2010

NKRA KE ARAH NEGARA MAJU 2020



Oleh : DATUK DR CHOO YEUN MAY

SEJAJAR dengan hasrat menjadikan Industri sawit disasar menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM178 bilion pada tahun 2020 berbanding paras semasa RM50 bilion; saya ingin menyentuh peranan dan hala tuju industri sawit untuk menjayakan misi nasional. Industri sawit adalah satu bidang di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dikenal pasti untuk menyokong usaha kerajaan ke arah negara maju menjelang 2020.

Bagi menyokong sasaran ini, lapan ‘entry point projects’ (EPP) dipersetujui di mana satu daripadanya adalah pembangunan loji biogas bagi memproses bahan buangan kilang sawit.

Kilang sawit berpotensi menjana tenaga elektrik daripada pemerangkapan biogas dihasilkan sisa buangan kilang sawit bagi membekal tenaga kepada grid nasional atau kegunaan sendiri.

Program ini berpotensi menyumbang GNI RM2.9 bilion menjelang 2020 dari usaha sebanyak 250 kilang sawit seluruh Malaysia.

Perkara ini juga dimaklumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, sewaktu merasmikan dialog dengan industri sawit mengenai penjanaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dari kilang sawit di Sabah baru-baru ini.

Sabah adalah negeri pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia dan mempunyai 120 kilang sawit. Secara agregat, ia berupaya menjana 60 MW tenaga elektrik dari biogas untuk disambung ke grid nasional.

Langkah ini juga akan dapat memperlengkapkan usaha kerajaan menangani masalah tenaga khususnya di Sabah. Penjanaan tenaga boleh diperbaharui dari sisa buangan sawit selaras penekanan kerajaan terhadap penggunaan tenaga hijau bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga dari sumber fosil.

Satu lagi perkembangan penting berkaitan pembangunan tenaga hijau ialah pelaksanaan Program B5 secara mandatori secara berfasa bermula di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka mulai Jun 2011.

Program B5 adalah adunan lima peratus ester metil sawit dengan 95 peratus diesel petroleum. Program ini memanfaatkan negara dari segi penggunaan biobahan api mesra alam serta mengurangkan kebergantungan terhadap diesel petroleum. Pelaksanaan penggunaan adunan biobahan api juga membuktikan kepada masyarakat dunia komitmen dan keprihatinan Malaysia bagi menangani isu pemanasan global dan memberi imej positif kepada industri sawit negara.

Di samping itu, pelaksanaan Program B5 juga memperkukuhkan harga minyak sawit dan membolehkan pengusaha sawit terutama pekebun kecil meraih faedah daripada pengukuhan harga komoditi itu.

Kerajaan menunjukkan komitmen terhadap pembangunan aktiviti mesra alam termasuk penjanaan tenaga dari sumber boleh diperbaharui dengan penyediaan insentif. Ini termasuk taraf perintis, pengecualian cukai pendapatan dari sijil Certified Emission Reduction (CERs). Selain itu, kerajaan sedang menimbang mekanisma Feed-in Tariff bagi merangsang aktiviti pengeluaran tenaga dari sumber boleh diperbaharui.

Pihak industri, MPOB dan kerajaan perlu berganding bahu menggerakkan sumbangan industri kepada pertumbuhan ekonomi negara serta menunjukkan industri adalah mesra alam dan mapan.

(NOTA: Datuk Dr Choo Yeun May ialah Ketua Pengarah MPOB)

No comments:

Post a Comment