Tuesday 30 November 2010

PASPORT TERBANG DI LABUAN?



Saudara Pengarang.

ASSALAMULAIKUM dan Salam 1 Malaysia, kami berharap pihak berkuasa iaitu Ketua Polis Negara, SPRM dan Menteri Dalam Negeri dapat menjalankan siasatan terhadap Isu Pasport Terbang, GRO dan Perjudian haram.

Terdapat ramai perempuan Filipina yang bekerja sebagai GRO di Pusat Hiburan Labuan membayar sindiket atau pekerja express feri untuk mendapatkan Cop daripada Imigresen Brunei. Ini bermakna bahawa GRO di Labuan tidak perlu pergi sendiri ke Brunei untuk mendapatkan Cop Imigresen Brunei. Kami percaya sindiket tersebut di atas bersubahat dengan Pegawai Imigresen Labuan untuk Cop keluar saja.

Kemungkinan besar sindiket atau pekerja feri langsung tidak pernah pergi ke Imigresen Brunei dan mereka mengunakan Cop Imigresen Brunei yang dibuat sendiri untuk mengecop pasport GRO tanpa disedari oleh pihak berkuasa Imigresen Brunei dan pihak berkuasa lain di Labuan.

Kami percaya bahawa ada sindiket berbuat demikian dalam masa yang agak lama tanpa pengetahuan pihak Imigresen Brunei dan pihak pegawai atasan imigresen Malaysia selama ini. Kami fikir imigresen Malaysia selama ini tidak pernah berbicang, merujuk dan mendapat pengesahan daripada pihak Imigresen Brunei tentang pasport atau pas lawatan GRO dari Labuan.

Taktik terbaru apabila pasport GRO telah dicop beberapa kali di Imigresen Brunei, GRO seharusnya kembali ke negara asal mereka, namun mereka tidak balik ke negara asal mereka malahan mereka beralih mendapatkan cop imigresen daripada Limbang yg membolehkan mereka terus berada di Labuan.

Adakah Limbang dan Labuan merupakan sebahagian daripada Malaysia? Kenapa apabila pasport mereka ditolak oleh pihak Imigresen Brunei kerana terlalu banyak cop ‘keluar masuk’ ke Brunei dan hanya transit dan kini GRO pula beralih ke Limbang untuk mendapatkan Cop Imigresen daripada Limbang yang membolehkan mereka (GRO) kekal berada di Labuan. Mungkin Imigresen Limbang pun senang ‘dikautim’?.

Sebuah pusat hiburan yang kecil (sebuah kedai) di Labuan ada 25 hingga 40 GRO dan untuk dua lot kedai seperti King Karaoke, Manila Cafe, Strawberry Karaoke, Tip Top Karaoke, Pop In, Havana Karaoke ada 40 hingga 80 GRO. Adakah tauke pusat hiburan tersebut akan bayar levi sebanyak RM2,000 untuk tempoh 6 bulan bagi setiap GRO? Kita cuma kira 30 GRO x 6 premis karaoke sahaja sudah ada 180 orang dan tidak kira sampai 80 orang bagi setiap Karaoke. Kita minta SPRM periksa di Imigresen Labuan berapa jumlah GRO yang bayar levi dalam masa enam bulan lalui mulai Jun hingga November 2010. Kalau sebuah pusat hiburan ada 40 GRO x RM2,000 = RM80,000 dan periksa mana satu pusat hiburan pernah membayar jumlah begitu besar untuk tempoh enam bulan dan Labuan kini ada 43 pusat hiburan. Tauke pusat hiburan di Labuan hanya salahguna permit pelayan (waitress) untuk menjalankan kegiatan maksiat berlesen.

Pelanggan hanya bayar RM250-RM300 untuk semalam perkhidmatan sebelum jam 12 tengah malam dan jika tidak pelanggan terpaksa belanja GRO segelas Ladies drink (beer) dengan harga RM28 sebelum Mummy karaoke melepaskan GRO di bawah jagaannya mengikut pelanggan ke hotel.

Dua hari yang lalu di internet dan suratkhabar menyatakan Malaysia sudah kritikal kerana sudah banyak wanita Malaysia terjangkit Virus HIV dari suami dan teman lelakinya. Di sini kita lihat kerajaan pula melonggarkan undang-undang untuk tauke karaoke menjalankan aktiviti pelacuran berlesen.

Walaupun Labuan adalah sebuah pulau yang kecil tetapi banyak aktiviti haram beroperasi di tengah bandar seperti 4 ekor haram, mesin slot haram dan judi di tempat terbuka. Apakah pihak berkuasa tempatan tuli dan tidur?.

Kami berharap agar Ketua Polis Negara yang baru ini akan arah PGA atau FRU bersama pegawai tatatertib turun ke Labuan dan hapus semua kegiatan haram yg beroperasi bertahun di Labuan dan setiap kali serbuan oleh pihak berkuasa tempatan cuma ‘Ops Tayang’ sahaja.

Pusat hiburan beroperasi sehingga jam empat atau lima pagi dan Perbadanan Labuan hanya keluar saman RM100 sahaja. Kami juga difahamkan daripada pelanggan jika mahu mengambil pil khayal atau pil kuda, cuma beritahu ‘waiter’ karaoke mahu ‘special drink’ dan hanya pelanggan yang sentiasa mengunjungi karaoke tersebut akan diberi minuman khas yang ada pil dengan harga istimewa juga. Sepatutnya pihak berkuasa tempatan harus tahu perkara ini kerana Labuan hanya sebuah pulau kecil. Macam mana pegawai penguatkuasa di Labuan mahu bekerja di daerah besar ketika ditukar kelak? Sepatutnya tindakan membatal lesen diambil bukan hanya kompoun RM100 yang boleh dibayar seperti membuang air kecil ditandas!

Kami sebagai warganegara yang bertanggungjawab serta cintakan negara ini ingin tahu kenapa perkara sebegini boleh berlaku dan pihak berkuasa langsung tidak ambil peduli atau mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang terlibat dalam perbuatan ini.

Salam hormat.

ANTI KARAOKE

No comments:

Post a Comment