Friday 19 November 2010

PBRS GESA LESTARIKAN JAMBATAN BUM BUM!



Oleh: ROZIE JUMAT

RAKYAT di kawasan Pulau Bum Bum, Semporna merayu kepada kerajaan pusat untuk meneruskan perancangan pembinaan jambatan dari tanah besar ke pulau tersebut yang telah diluluskan untuk dilaksana oleh mantan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) P189 Silam, Mohd Seh Hj Abdul Lirih, 53, berkata jambatan tersebut sangat diperlukan oleh penduduk di kawasan itu, kerana ia boleh menjana ekonomi sosio penduduk di kawasan yang terkenal dengan syurga menyelam dasar laut.

“Bagi pihak penduduk di kawasan luar bandar ini, kita merayu kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri agar memberi perhatian terhadap rancangan pembinaan jambatan yang telah dibatalkan ini kerana penduduk di sini amat memerlukannya,” kata Mohd Seh.

Jambatan sejauh dua kilometer itu telah dicadangkan pada tahun 2005 dan telah diluluskan serta diumumkan oleh Mantan Perdana Menteri yang telah berkunjung ke Pulau Bum Bum sebanyak dua kali sebelum ini.

Rakyat di kawasan itu kata Mohd Seh, mahu perancangan pembinaan jambatan itu diteruskan, kerana ianya sangat penting bagi mereka.

“Tidak benar sama sekali tanggapan bahawa pembinaan jambatan itu tidak memberi pulangan kepada kerajaan, kita sangat berkeyakinan dengan adanya jambatan itu akan mengubah ekonomi rakyat di kawasan ini,” kata Mohd Seh.

Sehubungan dengan itu kata Mohd Seh, Pulau Bum Bum yang terletak di DUN Senalang dalam kawasan Parlimen Semporna, mampu menyajikan pendapatan kepada kerajaan terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Kita sangat berkeyakinan dengan keperihatinan dan kepimpinan Ahli Parlimen Semporna, jambatan yang diidam-idamkan masyarakat di sini dapat direalisasikan,” katanya.

Namun Mohd She kesal kerana rakyat terus menunggu pembinaan jambatan tersebut meskipun lima tahun telah berlalu dan mengharapkan agar kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius terhadap penantian 20,000 orang penduduk di pulau tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pernah berkata bahawa kerajaan akan meneruskan rancangan untuk membina jambatan yang menghubungkan Semporna dengan Pulau Bum-Bum apabila keadaan ekonomi negara pulih dalam satu program Mesra Rakyat di Kampung Terusan, Pulau Bum Bum baru-baru ini.

Ketika itu kata Shafie, keadaan kemelesetan ekonomi sekarang menyebabkan projek jambatan berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu namun beliau menyerahkan kepada agensi berkaitan, termasuk Jabatan Kerja Raya untuk menilai semula kos semasa pembinaan jambatan berkenaan.

1 comment:

  1. wajahnya samseng..rupanya mahu sesuatu dari kerajaan. mengapa kerajaan dicari - sedangkan kau ndak pernah @ mahu mengundi kerajaan? siap cari ulun lain kempen supaya bencikan umarak yg sememangnya berkebajikan pada maslahah termasuk org miskin, pairit mahupun pemandu2 bot!!! so, mintalah pada PBRS!! hehehe

    ReplyDelete