Monday 15 November 2010

PENSIANGAN TUBUH JK ALAM SEKITAR


SAMPAIKAN.... Norazlan sedang menyampaikan cendera kenangan kepada Kurup.

Oleh : HASSAN DALIMPOS

BAGI menangani pencemaran alam sekitar dan alternatif mengekalkan hidupan flora dan fauna di negeri ini, Parlimen Pensiangan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak demi menjamin persekitaran yang bersih dan selamat.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Tan Sri Joseph Kurup berkata, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan di kawasan Pensiangan dengan dipengerusikan oleh beliau dengan kerjasama jabatan alam sekitar (JAS) dan jabatan pengairan dan saliran (JPS) sebagai urusetia serta wakil-wakil jabatan pelajaran, pihak keselamatan, Bomba, penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan alam sekitar.

Beliau berkata dalam satu program rakan alam sekitar Parlimen Pensiangan pada Jumaat yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Ambual, Keningau di sini yang dihadiri kira-kira 500 orang ibubapa, guru-guru, sekolah menengah kebangsaan Nabawan II, sekolah menengah kebangsaan Keningau, Sk Sodomon, SK Magatang dan SK Penagatan Laut.

Katanya, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab adalah menyedari peripentingnya penjagaan alam sekitar bagi mengekalkan sebuah kehidupan yang sempurna dan selamat, ini kerana tiada maknanya sebuah kehidupan jika disekelilingnya dicemari dengan benda-benda yang kotor, kerosakan flora dan fauna atau kemusnahan alam sekitar.

Kurup yang juga Ahli Parlimen P 182 Pensiangan berkata, program rakan alam sekitar yang dianjurkan bersama jabatan alam sekitar dan jabatan pengairan dan saliran dengan kerjasama jabatan pelajaran dan SK Ambul itu adalah untuk memberi kesedaran kepada seluruh anggota masyarakat supaya menghayati anugerah Tuhan yang tidak ternilai dan mewujudkan sikap proaktif terhadap alam sekitar demi untuk generasi akan datang.

Selain itu, ianya memupuk rasa prihatin setiap masyarakat bermula dari akar umbi untuk membantu pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan-kegiatan merosak, mencemar atau memusnahkan alam sekitar serta memperluaskan skop kegiatan memberi pendidikan dikalangan generasi muda bermual di sekolah rendah tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

SK Ambual adalah merupakan perintisan permulaan program penyelidikan sesuai dengan kedudukan persekitaran kawasan tersebut yang amat berpotensi untuk dijadikan contoh di masa akan datang kerana mempunyai sungai disamping persekitarannya yang belum tercemar, tambahan pula pihak sekolah mensasarkan akan menanam 1,000 pokok di kawasan sekolah, jelasnya.

Sempena program itu diadakan pihak majlis daerah Keningau, ahli-ahli jawatankuasa badan perhubungan Parlimen Pensiangan, wanita Parti Bersat Rakyat Sabah (PBRS), bomba, Polis, jabatan alam sekitar, jabatan pengairan dan saliran dan kakitangan sekolah bergotong-royong membersihkan kawasan sungai dan jambatan didekat sekolah berkenaan.

Di samping itu pelbagai aktiviti dijalankan antaranya pertandingan melukis, kuiz alam sekitar, penyelidikan air bersih oleh 60 pelajar sekolah menengah dan 30 pelajar sekolah rendah, pertandingan mewarna dan ceramah tentang alam sekitar.

Dalam pada itu, Kurup turut menanam pokok bersama pemimpin yang hadir disekitar sekolah berkenaan di samping penyampaian sumbangan wang RM1,500 kepada sekolah kebangsaan Ambual yang disumbangkan oleh Chemical Company Of Malaysia sebagai perintis pertama program rakan alam sekitar di pedalaman.

Turut hadir Ahli dewan undangan negeri Sook Datuk Ellron A Angin, Pegawai Daerah Keningau George Kandabu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Jasli Tindi, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Nabawan Aloysius Anthony, wakil pengarah Chemical Company Of Malaysia Nor Azlan B.Zulkifli, Pegawai Pelajaran Daerah Keningau Raisin Saidin dan Guru Besar SK Ambual, Francis Yantin.

No comments:

Post a Comment