Monday 8 November 2010

POLITIK HARA-KIRI Vs HALA-KIRI



Oleh: GAN SEI YANG

KEPUTUSAN Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee atau ‘Taiko’ bertanding dalam pilihanraya Kecil Batu Sapi mencipta sengketa antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, sekalipun SAPP mengekalkan status mereka sebagai ‘Parti Bebas’ atau ‘Parti Kera Sumbang’ di tengah kancah politik Sabah yang didominasi Barisan Nasional.

Politik Hala Kiri ala ‘Taiko’ ini jelas kelihatan apabila enggan bertolak ansur ketika mengadakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat dan tetap ingin bertanding sekalipun kerusi berkenaan adalah ‘kuota’ Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sikap ‘Kera Sumbang’ Yong telah menyebabkan SAPP seperti berada di atas bara api politik Sabah apabila rakyat Sabah yang selama ini hidup dalam keadaan harmoni dan membenci politik radikal enggan mengikut rentak Yong yang mengapi-apikan isu parokial yang sempit, ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ dan ‘Autonomi’ untuk Sabah.

Bagaikan menjual berlian di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Yong tidak mungkin mampu menarik minat pembeli kerana kawasan berkenaan hanya dihuni oleh Gajah Pygmy, Badak Sumbu, Orang Hutan, Rusa dan sebagainya.

Isu ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ dan ‘Autonomi’ adalah isu berhaluan kiri yang memerlukan kebijaksaan untuk ditata rias sebagai sebuah epik rakyat seperti Filem Langkasuka atau Magika agar tidak dianggap ‘anakronis’ atau bertentangan dengan sejarah politik tanah air.

Kegagalan Datuk Dr Jeffrey Kitingan memperjuangkan isu berkenaan berpunca daripada politik berhaluan kiri yang diamalkan beliau selama ini, lebih mencari kontroversi daripada ‘emansipasi’ manusia dan politik.

Sepatah kata pemimpin Barisan Nasional seperti Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said lebih bernilai daripada sejuta perkataan yang diluahkan Yong selama ini; buktinya dalam isu Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Pengarah Jabatan Imigresen yang wajib disandang rakyat Sabah.

Mengikut sejarah politik Sabah yang tidak tertulis dalam mana-mana kitab sejarah, Yong Teck Lee pernah menikam Salleh daripada belakang ketika meminta Salleh bercuti di luar negara selama tiga bulan untuk membolehkan beliau berunding dengan parti komponen yang lain untuk menghapuskan sistem ‘Merry Go Round’ Ketua Menteri bagi tempoh setiap dua tahun untuk setiap etnik utama di Sabah.

Belumpun dua minggu Salleh bercuti, Yong telah membelot dengan mengatakan, “Bukan kita minta dilantik sebagai Ketua Menteri, tetapi kita diberi dan kita terima.” Yong yang mendapat sokongan Sakaran (Tun) meneruskan sistem penggiliran dan menganggapnya sebagai yang terbaik di Sabah kerana setiap kaum dapat merasai jawata Ketua Menteri setiap dua tahun sekali.

Yong memulakan halatuju politik berhaluan kiri ketika berada dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan menubuhkan SAPP setelah bergotong royong menenggelamkan Bahtera PBS yang melayari lautan politik Sabah selama lebih sembilan tahun.

Paling menarik, SAPP menggunakan pantun 'sumbang' (kerana tidak menggunakan konsep a/b) yang dihantar melalui SMS untuk memikat para pengundi Melayu yang berbunyi;

Pergi ke pasar membawa raga,

Raga diisi kelapa dara;

Pemimpin BN hidup di syurga,

Rakyat hidup dalam sengsara.

AYUH KITA TOLAK BN, KITA PANGKAH SAPP. SABAH UNTUK SABAHAN. Sebarkan!

Namun setelah kalah dalam pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi, Yong membuat kerangka ‘novel politiknya’ dengan memberi seribu satu macam alasan kenapa beliau kalah dalam PRK tersebut untuk mengelak malu atau nista yang terpalit ke mukanya; apabila tewas bukan sahaja kepada ‘Pendatang Baru’, malah kepada orang yang ditolak cadangan untuk berdebat; atas alasan tidak mempunyai locus-standi.

Jika di Jepun pemimpin yang menyebabkan partinya malu kerana kalah besar sekalipun pada pilihanraya kecil, apatah lagi kedudukannya sebagai Presiden Parti; maka pemimpin parti tersebut akan melakukan ‘Harakiri’.

Mengikut sejarah Jepun, Harakiri adalah sejenis ritual (upacara) bunuh diri yang hanya dilakukan oleh golongan elit Samurai di zaman Feudal Shogun Jepun (1200-1870). Harakiri adalah perbuatan membunuh diri secara berani dengan memburaikan perut melalui tusukan pedang untuk menaikkan kegemilangan seseorang (sesetengah orang berpendapat mati cara begini dapat menaikkan darjat seseorang).

Harakiri adalah normal dalam era Shogun di Jepun kerana golongan Samurai dianggap golongan yang paling berkasta tinggi dalam zaman feudal tersebut.

Mungkin agak rugi jika Yong melakukan ‘Harakiri’ mengikut konsep Jepun kerana bunuh diri menyalahi Undang-Undang Malaysia, namun adalah lebih berhemah dan gentlemen jika beliau melakukan ‘Harakiri Politik’ dengan berundur secara terhormat seperti Tan Sri Chong Kah Kiat dan Tun Dr Mahathir Mohammad; daripada menjadi ‘Anjing Buruk Kepala’ di dalam SAPP.

Kata seorang pemimpin Cina yang hanya mahu dinamakan ‘Datuk Seri’, Yong sudah menjadi ‘barah’ kepada SAPP dan semakin kronik selepas PRK Batu Sapi kerana sudah pastinya rakyat Sabah dan ahli SAPP akan hilang keyakinan apabila Presiden mereka tumpas kepada seorang ‘Balu’ yang baru kehilangan suami dan ‘Ahli Politik Sambilan’.

Lebih tepat lagi kata Datuk Seri itu, “Yong bagaikan Kucing buta yang gagal menangkap tikus mati sedangkan masih mempunyai misai dan hidung untuk menghidu.”

Untuk apa lagi ‘Kucing Buta’ dalam politik Sabah kerana sudah pastinya beliau akan gentar dengan ‘Harimau Kertas’ yang tidak boleh mengaum atau bergerak!

No comments:

Post a Comment